Wednesday, April 10, 2019

SAYA TAK PERLU BERUCAP SETIAP MALAM KATA AMINUDDIN

SEREMBAN, 10 April (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini menjelaskan beliau lebih banyak berada di belakang tabir sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, dan hanya sesekali sahaja muncul di khalayak ramai.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berkata tugasnya selaku Pengarah Pilihan Raya PH memerlukan lebih banyak tumpuan kepada menyusun jentera parti bagi memastikan semua gerak kerja yang dirancang berjalan lancar.

"Saya hampir setiap malam berada di Rantau namun hanya tidak menyampaikan ucapan memandangkan telah ramai penceramah dijemput untuk menyampaikan ucapan mereka. Saya lebih kepada menyusun jentera pilihan raya kerana saya merupakan Pengarah Pilihan Raya, jadi saya susunlah jentera pilihan raya yang ada.

“Mana yang perlu diperbaiki dan diperkasakan dan sebagainya (akan dilakukan) supaya kita sentiasa bersiap sedia dan tidak mahu berlaku masalah di lapangan... tidak semestinya saya perlu berucap sepanjang masa...macam malam tadi saya turun berucap untuk gantikan (Presiden PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kehadirannya sepanjang tempoh 12 hari kempen PRK DUN Rantau, selepas merasmikan Projek Perumahan Penjawat Awam Negeri Sembilan di sini hari ini.

PRK DUN Rantau, Sabtu ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH Dr S. Streram, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment