Tuesday, April 9, 2019

KERAJAAN PH GAGAL DAPAT 10 UNDI UNTUK JADIKAN SABAH DAN SARAWAK WILAYAH

SEREMBAN, 9 April (Bernama) -- Anggota Parlimen dari Barisan Nasional (BN) menjadi punca Rang Undang-undang Persekutuan (Pindaan) 2019 gagal mendapat majoriti undi dua pertiga ketika dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, kata Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Anggota Parlimen Port Dickson berkata Dewan Rakyat memerlukan 148 undi untuk melepasi majoriti dua pertiga undi, namun hanya berjaya mendapatkan 138 undi, selepas anggota Parlimen dari blok pembangkang bertindak untuk berkecuali dalam proses undian RUU berkenaan.

"UMNO dan BN dia tak bantah juga, tapi tak undi juga, dia berkecuali, dia bagi alasan dia, tak apalah, tetapi kita tengok undang-undang (itu) jelas, itu sahaja," katanya berucap pada sesi ceramah PH sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau di sini, malam ini.

RUU berkenaan yang dibentang dan dibahaskan hampir tujuh jam hari ini adalah antara usaha kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963.

Ia yang dibentang Perdana Menteri Tun Dr Mahathir untuk bacaan kali kedua hari ini, bagaimanapun tidak dapat diteruskan untuk bacaan seterusnya selepas undi belah bahagi yang dijalankan mendapati seramai 138 anggota parlimen menyokong pindaan, tiada yang menolak dan 59 pula tidak mengundi.

Anwar yang juga Presiden PKR menjelaskan bahawa pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan berkenaan adalah antara janji manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

"Saya puas hati, saya bangun tadi sokong usul Tun Dr Mahathir bagi pihak PH kerana kita janji, dan kita tunaikan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment