Monday, November 5, 2018

NASIR TUBUH NGO BANTU KASTAM TANGANI AKTIVITI PENYELUDUPAN



KOTA BHARU, 5 Nov (Bernama) -- Bekas Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Datuk Mohd Nasir Yusoff akan menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu jabatan itu menangani aktiviti penyeludupan di negeri ini.

Mohd Nasir berkata NGO berkenaan akan dikenali sebagai Majlis Pencegahan Penyeludupan Sempadan merupakan agenda utama beliau selepas memulakan persaraannya bermula hari ini.

“Badan ini akan bekerjasama dengan agensi lain di sempadan bagi memastikan aktiviti penyeludupan dapat dibanteras.

“Ia juga akan memainkan peranan memberi penerangan kepada masyarakat di negeri ini tentang bahayanya aktiviti penyeludupan dan kesannya kepada ekonomi negara,” katanya kepada pemberita pada Majlis Paluan Berundur Pengarah JKDM Kelantan di pejabatnya di Padang Bongor di sini, hari ini.

Mohd Nasir bersara wajib hari ini selepas berkhidmat selama 35 tahun dalam JKDM termasuk empat tahun sebagai Pengarah JKDM Kelantan.

Timbalan Pengarah JKDM Kelantan (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Muhamad Zubli Din kini memangku tugas sebagai Pengarah JKDM Kelantan.

Sementara itu, katanya JKDM Kelantan menunjukkan prestasi yang baik sepanjang beliau berkhidmat di negeri ini apabila berjaya meningkatkan penguatkuasaan, tangkapan dan kes rampasan selain kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah kutipan cukai berkenaan bagi Kelantan sejak ia diperkenalkan kembali oleh kerajaan bermula 1 Sept lepas.

“Saya berterima kasih kepada semua anggota yang telah bertugas dengan jujur dan penuh integriti di lapangan sepanjang saya memegang jawatan pengarah,” katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment