Monday, November 12, 2018

RINA JANJI TIADA LAGI CAMPURTANGAN POLITIK DALAM KPLB

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Dalam usahanya memastikan setiap kelompok masyarakat menikmati pembangunan, kerajaan Pakatan Harapan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menggariskan perancangan bagi menggerakkan perubahan komuniti di kawasan luar bandar.

Antaranya, Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar adalah perancangan KPLB yang merangkumi perancangan jangka masa pendek dan sederhana untuk tempoh lima tahun akan datang. Ia bakal menjadi sebahagian daripada pelan strategik KPLB dan hala tuju kementerian serta jabatan dan agensi di bawahnya.

Dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun, 45, mengulas pelantikannya dan fokus utama beliau dalam menerajui kementerian yang sebelum ini didominasi sepenuhnya menteri lelaki, bermula Tun Abdul Razak Hussein (1959-1969) sebagai menteri pertama kementerian itu. 

Berikut adalah transkrip antara petikan soalan semasa temu bual Bernama bersama Rina:

1. PLB adalah sebuah kementerian yang mempunyai portfolio luas, apakah fokus utama Datuk Seri dalam masa terdekat ini?

RINA: Pembangunan luar bandar adalah tumpuan kerajaan dalam memastikan pembangunan ekonomi negara dapat dinikmati secara inklusif oleh rakyat di segenap lapisan, oleh yang demikian, kerajaan telah merangka pelbagai usaha melalui KPLB yang beraspirasi untuk terus memajukan lagi kawasan luar bandar. 

Kita bermatlamat mahu menjadikan kawasan luar bandar kondusif untuk didiami dengan pelbagai aksesibiliti dan kemudahan seperti dinikmati penduduk di bandar. Kemajuan yang sedang kita perkatakan ini menjangkau penyediaan infrastruktur asas, merangkumi penjanaan pendapatan tinggi melalui penglibatan swasta, aktiviti ekonomi mampan, keusahawanan dan mencipta peluang pekerjaan.

Namun dalam masa sama, aspirasi murni masyarakat luar bandar seperti pegangan teguh kepada kepercayaan agama dan kaya dengan budaya akan terus dikekalkan.

2. Apakah cabaran utama yang Datuk Seri jangka dihadapi oleh kementerian dalam meneruskan misi dan visi sebagai kementerian yang bertanggungjawab membangun dan memperkasakan kehidupan masyarakat di luar bandar?

RINA: Antara cabaran dan kekangan utama kementerian ialah dari segi ekonomi, keusahawan dan pemasaran hasil tani komuniti desa. Justeru, apabila memperkatakan tentang pembangunan desa, perindustrian dilihat sebagai penyelesaian tepat dalam mengatasi permasalahan kemiskinan dan kemunduran. 

Perindustrian luar bandar yang dibangunkan adalah berdasarkan ciri-ciri yang sesuai dengan persekitaran dan lebih menjurus kepada penjanaan modal insan, menggunakan teknologi baharu dan memenuhi keperluan jangka masa panjang. Agensi awam dan swasta masing-masing sebenarnya mempunyai peranan utama dalam mengukuhkan pengurusan desa. Sekiranya desa-desa berpotensi ini tidak dibangunkan, kawasan desa tidak akan mempunyai nilai ekonomi yang boleh menjana hasil dan pendapatan, malahan akan menjadi liabiliti kepada negara.

Justeru, kementerian kini sedang merangka satu inisiatif yang dapat menyumbang kepada tahap kemampanan kampung dan penambahbaikan keadaan fizikal, sosial dan ekonomi desa serta memberi impak positif kepada penduduk luar bandar.

3. Apakah penambahbaikan yang ingin dilakukan Datuk Seri dalam kementerian yang selama ini diterajui oleh menteri-menteri daripada parti yang berlainan dasar dan pendekatan?

RINA: Kita tidak selalunya mendapat apa yang kita inginkan. Apabila saya mula menjalankan tugas, saya menerima dengan hati terbuka apa jua kelebihan dan kekurangan dalam KPLB. Sebagai contoh, terdapat beberapa masalah koordinasi antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Kos perbelanjaan dalam belanjawan telah meningkat di samping berlaku pertindihan fungsi yang menyebabkan ketidakcekapan dalam operasi. Terdapat juga beberapa kes di mana kerajaan negeri menolak implementasi projek yang dirancang oleh kerajaan pusat disebabkan konflik kepentingan. 

Sejajar dengan visi perdana menteri, kita tidak boleh ada lagi ketidakcekapan sebegini wujud di dalam kementerian. Disebabkan inilah, saya banyak berkunjung ke kawasan luar bandar untuk meninjau sendiri dan menilai apa yang benar-benar diperlukan rakyat, dan memastikan amanah rakyat dijalankan sewajarnya. 

Daripada segi sumber manusia, saya merasakan KPLB mempunyai ramai kakitangan yang terlatih serta mengetahui bagaimana hendak mewujudkan suasana yang sejahtera untuk komuniti desa. Tetapi masalah yang dihadapi pentadbiran lama adalah terlalu banyak campur tangan politik sehingga apa yang telah dipelajari kakitangan ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik serta membataskan mereka untuk menunjukkan kepakaran masing-masing. 

Apa yang saya perlu lakukan adalah memberi suasana sihat serta ruang yang cukup agar mereka dapat menzahirkan ilmu dan kemahiran mereka yang sebenar.

4. Boleh Datuk Seri terangkan dengan lebih lanjut Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 yang dirangka kementerian?

RINA: Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar merupakan perancangan KPLB yang merangkumi perancangan jangka masa pendek dan sederhana untuk tempoh lima tahun akan datang. Ia bakal menjadi sebahagian daripada pelan strategik KPLB dan juga sebagai hala tuju KPLB serta agensi di bawah KPLB.

Pelan ini menggariskan enam teras strategik sebagai sandaran untuk pelaksanaan secara agresif, mencakupi pelbagai bidang seperti prasarana, ekonomi, keusahawanan, modal insan, pemerkasaan wanita dan sistem penyampaian. 

Secara keseluruhannya, terdapat 29 strategi dan 94 program yang akan dilaksanakan di bawah keenam-enam teras ini termasuklah lapan program keutamaan. 

Pelan ini turut mengambil kira cadangan keutamaan dan penekanan baharu kerajaan PH yang telah digariskan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11). Dalam masa sama pelan ini disesuaikan dengan struktur baharu KPLB di mana beberapa agensi seperti JAKOA, FELCRA dan RISDA tidak lagi berada bawah KPLB, di samping penambahan satu agensi baharu iaitu PERDA atau Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang. 

Tema ‘Luar Bandar Sejahtera’ dipilih bagi mencapai aspirasi kawasan luar bandar sebagai kawasan yang kondusif untuk tempat tinggal, menjana pendapatan dan membina kehidupan. Pembangunan ini bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan infrastruktur tetapi juga ekonomi dan modal insan yang akan memacu pertumbuhan kawasan luar bandar melalui pembangunan luar bandar yang inklusif, ia akan menaik taraf dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar dan akan memenuhi keperluan sosioekonomi, fizikal, rohani dan sahsiah.

5. Boleh Datuk Seri terangkan mengenai promosi Ekspo Inovasi dan Teknologi Keusahawanan Desa (INOTEKDesa) ?

RINA: Dalam usaha membangunkan usahawan tekno dan inovasi bumiputera luar bandar, KPLB akan mengadakan satu program utama pada 15 hingga 18 Nov ini iaitu Ekspo Inovasi dan Teknologi Keusahawanan Desa (INOTEKDesa) bertempat di MITC, Melaka dengan penyertaan seramai 407 usahawan yang terdiri daripada pelbagai kluster perniagaan. 

Program julung kali diadakan ini bertujuan supaya usahawan desa didedahkan kepada kemajuan inovasi dan teknologi dalam meningkatkan produktiviti perusahaan mereka.

Ia juga menjadi satu platform kepada usahawan desa untuk meninjau dengan lebih dekat pelbagai peralatan dan mesin terkini bagi meningkatkan jumlah pengeluaran selain menambah baik kualiti produk dan perkhidmatan dalam kalangan usahawan desa. Ekspo ini turut memberi peluang untuk usahawan mempromosikan produk masing-masing kepada pengunjung. 

Antara pengisian program INOTEKDesa ialah 'pocket talks' dan 'business matching' untuk mengadakan perbincangan secara terus bersama penyedia serta pembekal peralatan dan peluang sesama usahawan dalam mengembangkan perniagaan mereka.

Sebagai pelengkap sepanjang empat hari program, turut dipakejkan adalah gerai-gerai pameran yang mempromosikan maklumat pembiayaan usahawan desa serta maklumat latihan atau bengkel keusahawanan untuk masyarakat luar bandar. 

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment