Friday, December 2, 2016

WARKAH WASIAT RAJA HAJI WAJAR DIBUKUKAN

KUALA TERENGGANU: Seorang tokoh NGO, Fakhrul Azman Abu Bakar mencadangkan supaya Warkah Wasiat Raja Haji (Marhum Teluk Ketapang) dibukukan untuk menaikkan semangat kepada umat Melayu supaya sayangkan negara dan jijik bersekongkol dengan orang asing.

Katanya, di antara sinopsis warkah Raja Haji ialah perjuangan menentang penjajah Belanda bukan hanya terletak kepada orang Bugis tapi adalah gabungan daripada penyatuan umat Melayu, Serani, India dan Cina yang cintakan negara bangsa bagi mengembalikan tanah, udara, air dan laut yang dirampas oleh orang asing.

"Kata al marhum lagi menghadapi musuh dalam selimut daripada golongan Melayu seperti berwajah Melayu, berhati Belanda," katanya kepada blog Today Terengganu.

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda PKR Terengganu menambah Raja Haji turut menulis bahawa petualang Melayu sentiasa muncul dalam setiap sejarah Melayu  kerana mereka laksana semut hitam yang melata, di atas batu hitam, pada waktu malam tanpa bulan dan bintang.

"Sinopsis warkah tersebut ialah memperjuangkan maruah Melayu, biar luka di dada tapi jangan luka di belakang," katanya lagi.

Beliau setuju dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendedahkan ada petualang bangsa yang sanggup bersekongkol dengan orang luar untuk menjatuhkan kerajaan yang sah yang dipilih rakyat seperti Empower, Tenaganita, Suaram yang ditaja oleh opeb Society Faoundation milik George Soros.

Katanya, sepatutnya rakyat kita menghadam sejarah masa lampau kerana ia berkait rapat dengan jati diri dan tujuan kehidupan yang ingin dicapai oleh sebuah negara bangsa.

Beliau mengingatkan sejarah amat penting dalam menjadi penanda aras mahupun menjadi pedoman dalam meniti liku-liku proses kehidupan negara bangsa.

"Bila seorang warga itu ingin mengenali dirinya maka sejarah dirinya, bangsanya, masyarakatnya tidak boleh diabaikan," katanya.

Fakhrul Azman memberi contoh perjanjian-perjanjian yang telah menyebabkan umat Melayu terpinggir ke belakang seperti Perjanjian Pangkor (20 Januari 1874), Perjanjian Inggeris Kedah (1786), Perjanjian Inggeris Belanda (17 Mac 1824), Perjanjian Sumatra (2 November 1871) dan Perjanjian Bangkok (10 Mac 1909).


No comments:

Post a Comment