KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam menyertai ribuan umat Islam menghadiri Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa.
Himpuan aman solidariti itu bagi melahirkan keprihatinan masyarakat Malaysia terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas etnik Rohingya di Myanmar, terutama di Rakhine di perkampungan Rohingya.
Kerajaan Myanmar kini menerima tekanan dari pelbagai pihak antarabangsa atas tindakan kezaliman dan penindasan yang dilakukan ke atas etink Rohingya di Mynmar yang melanggar hak asasi kemanusiaan.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri mendesak badan antarabangsa serta negara komuniti ASEAN mengambil tindakan dalam menghentikan kekejaman dan penindasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar.
Beliau meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya tidak sekadar menyaksikan kekejaman berlaku, sebaliknya mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
"OIC, tolong jangan tengok saja, lakukanlah sesuatu. PBB, dunia tidak boleh berdiam diri dan hanya menyaksikan pemusnahan bangsa, ini adalah masalah kita. Beratus ribu sebelum ini mati di Rwanda dan Bosnia, dunia hanya melihat dan lewat bertindak, kali ini kami tidak mahu hanya menunggu dan melihat," katanya pada Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa, semalam.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapannya menggesa kerajaan menggunakan saluran diplomatik bagi menyelesaikan isu kekejaman dan penindasan terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar.
Menurut beliau, krisis yang berlaku di negara itu bukan sahaja menuntut campur tangan Malaysia, malah oleh seluruh negara yang menandatangani piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Termasuk juga negara-negara ASEAN dan seluruh negara anggota OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) serta semua pejuang hak asasi manusia kerana kerajaan Myanmar telah melakukan pencabulan terhadap hak asasi manusia," katanya ketika berucap pada perhimpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa, hari ini.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment