Thursday, December 1, 2016

UMNO KUALA NERUS CATAT KEANGGOTAAN BARU TERTINGGI

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Pengalaman menghadapi pelbagai krisis, menjadi pendorong kepada Terengganu untuk berusaha keras mendapatkan lebih ramai keanggotaan UMNO.

Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman berkata rahmat di sebalik musibah akhirnya memberi kekuatan kepada semua jentera parti supaya lebih bersedia menghadapi pilihan raya.

"Ia hasil kerja kuat daripada semua, segala krisis dan permasalahan di Terengganu telah selesai. Jentera Terengganu berada di landasan betul dan di tahap terbaik.

"Kita tidak akan berpaling ke belakang lagi dan kita akan bergerak kerana akan menghadapi pilihan raya umum," katanya kepada Bernama selepas Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2016, di sini hari ini.

Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan dasar presiden memuji UMNO Terengganu yang telah memperoleh keanggotaan baru tertinggi iaitu 9,787 anggota setakat Oktober lalu.

UMNO Kuala Nerus pula merupakan bahagian yang mencatat keanggotaan baru tertinggi, seramai 2,876 ahli.

Ahmad Razif yang merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri berkata pengiktirafan yang disampaikan perdana menteri itu memberi motivasi dan semangat kepada anggota UMNO Terengganu untuk terus bekerja lebih kuat.

Katanya, ucapan dasar presiden juga mampu memberi ingatan dan menyedarkan pemimpin parti bahawa formula utama UMNO kekal selama 70 tahun ialah kesetiaan kepada parti dan jika diteruskan, UMNO mampu menempuh gelombang cabaran akan datang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment