KEMAMAN (Bernama) -- Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dengan kerjasama Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kemaman semalam meraikan 25 anak-anak yatim di daerah ini dalam program 'kembali ke sekolah' di sebuah pasar raya di sini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Said Ibrahim berkata menerusi program berkenaan anak-anak yatim itu diberikan kelengkapan persekolahan termasuk pakaian seragam sekolah, peralatan menulis serta beg sekolah untuk digunakan pada penggal persekolahan akan datang.
"Program ini adalah inisiatif kami bagi membantu anak-anak yang tidak berkemampuan ini untuk persekolahan yang akan dibuka kelak.
Selain tugasan harian menjaga keselamatan negara kita juga turut prihatin dengan anak-anak yang memerlukan ini dan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial antara polis dan masyarakat," katanya selepas program itu di sini.
Mohd Said turut menghulurkan sumbangan peribadinya bagi membeli kelengkapan persekolahan untuk anak-anak yatim berkenaan.
"Ini adalah sumbangan peribadi saya, saya rasa terpanggil untuk membantu mereka...saya juga pernah melalui detik sukar untuk menyiapkan peralatan sekolah," katanya.
Sementara itu salah seorang anak yatim yang menerima sumbangan, Nor Ain Amira Mohammad Ghazali,12, berkata beliau mengucapkan penghargaan kepada pihak IPD Kemaman dan Perkep Kemaman di atas sumbangan berkenaan.
Katanya, selama ini dia memang mengharapkan belas ihsan orang ramai menghulurkan bantuan untuk memulakan persekolahan ekoran hidupnya yang serba kekuranganan kerana dibesarkan abang dan kakaknya selepas kematian ibu bapa mereka dua tahun lepas.
"Kini saya berasa lega dan syukur dengan bantuan yang dihulurkan. Sebelum ini bila tiba sesi persekolahan saya hanya menunggu bantuan ataupun ihsan daripada kakak untuk bantuan," kata anak bongsu dari lapan adik beradik itu lagi.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment