Saturday, December 10, 2016

KKMM BINA EMPAT LAGI PIM DI HULU TERENGGANU



HULU TERENGGGANU, 10 Dis (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan membina empat lagi Pusat Internet Malaysia (PIM) di daerah ini tahun depan dengan peruntukan RM4 juta.

Timbalan Menterinya, Datuk Jailani Johari berkata dua daripada PIM itu akan dibina di kawasan Ajil
, masing-masing di Felda Tersat dan Felda Jerangau Barat, dengan peruntukan RM1 juta setiap sebuah.

"Sebelum ini Hulu Terengganu telah mempunyai empat buah PIM iaitu di Kampung Tok Randok, Bukit Diman, Mengkawang dan Kampung Menerong bagi kemudahan penduduk luar bandar untuk mendapat maklumat, membuat bayaran sebarang bil dan menjana pendapatan dengan menjual produk melalui sistem online," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Menghubung Menyatu anjuran KKMM di Sekolah Kebangsaan Peroh di sini. Turut hadir Pengarah Penerangan Terengganu Nasruddin Mahmud.

Pada majlis itu seramai 30 orang penduduk telah terpilih menerima bantuan berupa beras, gula, tepung gandum dan minyak masak untuk kegunaan harian mereka

Katanya, dengan terbinanya pusat internet berkenaan, penduduk di Hulu Terengganu yang terkenal dengan pengeluaran hasil pertanian seperti jagung, kacang tanah serta barangan kraf boleh memasarkannya secara online.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment