Wednesday, December 14, 2016

MOU PEMBANGUNAN SEMULA KOMPLEKS BAZAR WARISAN DITANDATANGANI



KUALA LUMPUR: Satu memorandum persefahaman (MOU) bagi Pembangunan Semula Kompleks Bazar Warisan Kuala Terengganu telah ditandatangani antara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Syarikat hartanah Wei Amber Group Sdn Bhd di Bangsar South Kuala Lumpur malam tadi.

Majlis yang disaksikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dengan MBKT yang diwakili oleh Datuk Bandar Kuala Terengganu Mohd Zulkifli Abu Bakar dan Wei Amber diwakili oleh Hj Ismail Cui Wei


Hadir sama Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Mohd Jidin Shafee dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk A Rahim Jusoh.

Menurut Ahmad Razif, projek pembangunan ini melibatkan kos RM15 juta adalah hasil kerjasama dengan syarikat Amber Recources dari China iaitu anak syarikat Amber Group Holdings yang mengusahakan makanan Cina Muslim dan semua kos akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat tersebut dan perjanjian ini dilakukan secara pajakan selama 20 tahun dengan 10 tahun tambahan bergantung kepada prestasi semasa mereka.

Kumpulan perniagaan Amber mempunyai pengalaman luas dalam menjalankan projek hartanah kediaman dan hotel di Lanzhou China serta mengendalikan 26 rangkaian restoran Cina Muslim Amber di seluruh China.


Projek naik taraf Bazar Warisan hanya melibatkan tingkat atas sahaja dan tidak akan menjejaskan peniaga yang sedia ada di bahagian bawah yang boleh berniaga seperti biasa.

Dalam usaha untuk merancakkan industri pelancongan negeri ini, Bazar Warisan yang terletak berdekatan dengan Pasar Payang akan diberi suntikan baharu dan memulihkan imej kompleks berkenaan menjadi lebih berdaya saing bertepatan dengan Visit Beautiful Terengganu yang akan diadakan pada tahun hadapan.

Antara premis yang akan dibangunkan di sini adalah gerai makanan antarabangsa (food court), hotel bajet dan sebuah restoran makanan halal Cina iaitu cawangan kedua yang dibuka di Malaysia yang akan menjadi tarikan baharu di Bandaraya Kuala Terengganu kepada pelancong dalam dan luar negara.

No comments:

Post a Comment