Sunday, December 18, 2016

UPM DISARAN HASILKAN TEKNOLOGI PENANAMAN PADI SECARA BERTERUSAN

BESUT, 18 Dis (Bernama) -- Universiti Putra Malaysia (UPM) disaran menghasilkan teknologi baharu dalam penanaman padi secara berterusan bagi membantu petani dan masa depan negara.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata UPM telah membuktikan kehebatan kajian mereka menerusi sembilan produk teknologi padi yang berjaya meningkatkan penghasilan sehingga 30 peratus di kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA-Ketara).

"Hasil teknologi itu berjaya dilakukan di kawasan plot kajian di kampung Lubuk Kawah di sini yang meningkatkan pengeluaran daripada biasa," katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui selepas menyampaikan kunci Rumah Komuniti yang dibina oleh pensyarah dan pelajar Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam kepada keluarga Kamaruzaman Daud, 44, di kampung Beris Lampu, Kuala Besut di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Idris yang juga Anggota Parlimen Besut berkata menerusi kejayaan UPM itu, seramai 300 pesawah akan memulakan penanaman padi dengan teknologi baharu itu mulai Januari depan.



"Saya telah meminta teknologi baharu yang diperkenalkan UPM itu dilaksanakan juga di kawasan penanaman padi di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) supaya lebih ramai pesawah mendapat faedah daripadanya nanti," katanya.

Sementara itu, rumah komuniti yang diserahkan kepada keluarga Kamaruzaman dan isterinya Hazuani Mohamad, 38, yang mempunyai empat anak berumur antara tiga bulan hingga 11 tahun itu merupakan rumah ke-74 dibina melalui peruntukan Anggota Parlimen itu di Besut.

Idris berkata rumah yang dikhaskan kepada mereka yang berpendapatan rendah itu hampir mencapai sasaran iaitu sebanyak 100 buah menjelang akhir tahun ini, sehingga kini sebanyak 80 buah telah siap dibina dan diserahkan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment