Sudah empat hari sidang Dewan Undangan Terengganu berakhir. Kekecohan yang dijangka berlaku akhirnya tidak berlaku. Syukur kerana sidang kali ini berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Dua hari lepas MB Terengganu, Ahmad Razif sedia berdamai dengan ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said untuk menamatkan pertelingkahan politik yang sudah dua tahun berlarutan. Ahmad Said mengulas isu ini berkata beliau sedia berdamai dengan syarat Razif melantik semula orangnya yang dibuang dari GLC.
TODAY TERENGGANU sempat meninjau pendapat orang ramai berhubung dengan isu ini. Menurut seorang pegawai kerajaan, Kamal Shah, 55, sepatutnya Ahmad Said tidak perlu mengemukakan sebarang syarat kepada MB jika beliau ikhlas mahu berdamai.
"Rakyat yang rugi jika Ahmad Said terus menganggu pentadbiran negeri. Oleh itu jika beliau ikhlas, sepatutnya beliau tidak perlu mengemukakan sebarang syarat," katanya.
Sehubungan dengan itu beliau berharap Ahmad Said perlu mengorak langkah dengan meminta maaf kepada Razif.
"Permainan ini dimulakan oleh Ahmad Said dengan mengemukakan undi tidak percaya kepada MB. Oleh itu sewajarnya beliau minta maaf kepada Razif dan berjanji tidak akan menganggu Razif lagi,' tegas Kamal.
Bagi Azhar Ramli, 45, seorang petani, Razif adalah MB cakna rakyat. Jadi katanya Ahmad Said tidak seharusnya mengemukakan sebarang syarat kepada Razif jika beliau mahu berdamai.
"Saya sudah lama mohon bantuan kebajikan masyarakat. Tetapi saya difahamkan oleh kerana Ahmad Said tidak pernah menghadiri mesyuarat jawatankuasa kebajikan daerah maka bantuan saya tidak dapat kelulusan lagi. Oleh itu cukuplah Ahmad Said berpolitik yang merugikan rakyat macam saya," katanya yang juga seorang pengundi DUN Kijal.
Aishah Jaafar, 50, seorang guru berpendapat perdamaian kedua pihak hendaklah berpaksikan kejujuran dan keikhlasan. Jika hanya seorang sahaja yang jujur, tidak ada makna perdamaian tersebut.
"Biar kita berdamai kerana Allah. Dan bukan kerana mahu projek atau mahu pingat Tan Sri. Bagi saya punca masalah ini dari Ahmad Said maka beliau perlu berjiwa besar mahu lihat perdamaian ini jadi kenyataan," tegasnya.
Wan Jasni Ibrahim, 47, bertanya sampai bila krisis ini akan berlarutan jika kedua pihak terus bertelagah dan kata mengata dalam media.
"Sudah sampai masanya bagi dua pihak duduk semeja fikirkan masalah rakyat dan jangan fikirkan masalah peribadi. Saya percaya mereka berdua tidak mahu melihat BN tumbang dalam PRU akan datang. Maka Ahmad Said perlu mengalah dan mengalah itu bukannya bererti kalah," katanya lagi.
Bagi Zabidah Muda, 30, isu yang melanda Terengganu merugikan rakyat.
"Sudah sampai masanya Ahmad Said muhasabah diri dan kaji sejauh mana tindakannya itu menguntungkan rakyat. Saya tidak nampak ia menguntungkan rakyat sebaliknya rakyat yang rugi. Cukup-cukuplah Ahmad Said," kata beliau yang juga seorang peniaga di Kedai Payang.
No comments:
Post a Comment