KUALA KRAI, 27 Ogos (Bernama) -- UMNO Terengganu menggerakkan jentera pilihan rayanya untuk membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berikutan kemelut politik negeri itu sudah selesai.
Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman berkata pelbagai program sudah mula dilaksanakan untuk memperkuatkan jentera parti di semua peringkat selain mengadakan pertandingan melibatkan persiapan Pusat Daerah Mengundi.
"Saya memberi jaminan sekiranya berlaku pilihan raya pada bila-bila masa, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Terengganu sudah bersiap sedia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Krai di sini, hari Sabtu.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Abdul Rahman.
Ahmad Razif yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu dan Anggota Majlis Tertinggi UMNO, berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan UMNO Terengganu bagi menghadapi PRU14.
Dalam pada itu, Ramzi berkata seluruh anggota UMNO perlu bekerja kuat untuk mempertahankan parti yang sedang menghadapi cabaran berikutan senario politik yang sudah berubah.
Katanya selain cabaran daripada parti pembangkang sedia ada, UMNO juga tidak boleh memandang mudah terhadap cabaran parti baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang cuba untuk melemahkan UMNO.
Beliau mahu seluruh anggota UMNO di bahagian tersebut mempertahankan kepimpinan perdana menteri yang juga presiden UMNO.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment