Thursday, August 25, 2016

MAHATHIR MOHON MAAF KURANGKAN KUASA YANG DIPERTUAN AGONG



SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf atas pindaan perlembagaan yang menyebabkan kelulusan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak lagi menjadi keperluan untuk menjadikan suatu akta sebagai undang-undang.

Bagaimanapun, kata bekas Perdana Menteri itu, pindaan tersebut tidak meliputi semua undang-undang kerana terdapat Akta Parlimen yang masih perlu mendapat persetujuan dan tandatangan baginda.

“Saya dengan penuh ikhlas memohon maaf kerana membuat pindaan tersebut yang terbuka kepada tafsiran berbeza. Pindaan itu tidak melucutkan lebih 30 perkara lain di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Sebenarnya terdapat lebih 30 prosiding yang tersenarai dalam perlembagaan yang memerlukan persetujuan Yang di-Pertuan Agong, sebahagian daripadanya tanpa mendapatkan nasihat perdana menteri,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan, semalam.

Mahathir berkata, hak dan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk isytiharkan darurat tidak terjejas dan keistimewaan itu dikekalkan kerana implikasinya amat serius.

“Fasal (1) Perkara 150, Proklamasi Darurat menyatakan ‘Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka baginda boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

“Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir akan berlaku,” katanya.

Katanya, perkara dan fasal itu menyatakan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk isytihar darurat kekal terletak hanya pada baginda dan tidak boleh dipertikaikan.

“Tiada disebut dalam kes ini, Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat perdana menteri. Yang di-Pertuan Agong juga boleh memasyhurkan ordinan yang mempunyai kuasa sama dengan Akta Parlimen.

“Dengan kuasa ini yang kekal di tangan Yang di-Pertuan Agong tidak terdapat apa-apa keperluan bagi mana-mana undang-undang lain untuk membolehkan kerajaan menggantung undang-undang bagi menangani masalah keselamatan,” tegasnya.

Menurut Mahathir, Akta MKN yang diluluskan di Dewan Rakyat itu telah menghina peruntukan Perkara 38 (4) yang menyatakan tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

“Jelas sekali Akta MKN ini menceroboh kedudukan istimewa Majlis Raja-Raja dan bertentangan dengan hak Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat. Persetujuan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong masih diperlukan untuk meluluskan akta ini sebagai undang-undang.

Katanya, di bawah Fasal (3) Perkara 40, baginda boleh bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang bukan daripada jemaah menteri untuk jalankan mana-mana fungsinya, selain menurut budi bicaranya.


Selain itu, Yang di-Pertuan Agong masih mempunyai bidang kuasa untuk menasihati Mahkamah Persekutuan tentang apa-apa soal dan kesan mana-mana peruntukan perlembagaan yang berbangkit atau mungkin berbangkit.

“Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.

“Peruntukan ini memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk merujuk ke Mahkamah Persekutuan jika terdapat kesangsian terhadap kesahihan ataupun ketidaksahihan Akta MKN yang tidak pun mendapat persetujuan serta tandatangan Yang di-Pertuan Agong,” ulasnya.

Katanya, pelantikan perdana menteri juga merupakan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang individu yang mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, namun calon itu tidak semestinya diterima oleh baginda.

“Berdasarkan peruntukan sama di Terengganu, Perlis dan Selangor, calon yang dikemukakan parti menang ditolak dan raja-raja membuat keputusan menerima calon lain. Mereka ini dilantik sebagai menteri besar dan diterima Majlis Mesyuarat Negeri.

“Jelas, baginda mempunyai hak melantik perdana menteri atas budi bicara. Jika semasa persidangan, Dewan Rakyat menolak lantikan itu, calon tersebut terpaksa berhenti daripada jadi perdana menteri. Yang di-Pertuan Agong akan menamakan calon baharu,” ujarnya.



No comments:

Post a Comment