HULU TERENGGANU, 26 Ogos (Bernama) -- Pemimpin dan anggota UMNO perlu melupakan sengketa dan fokus sepenuhnya kepada gerak kerja parti untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.
Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu itu berkata sebarang tindakan mahupun perselisihan yang boleh memporak-perandakan parti haruslah dihadapi dengan tenang dan usaha mengatasinya perlu dilakukan segera.
"Kekuatan UMNO yang kini berusia 70 tahun bergantung kepada keupayaan semua pemimpin serta anggota mempertahankan perpaduan.
"Sudah tak sampai dua tahun pun nak menghadapi PRU14... rakyat sedang memerhatikan suasana politik dan seharusnya kita (UMNO) terus bergerak dan memberi fokus kepada gerak kerja parti (membantu rakyat)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian persidangan perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu yang disempurnakan oleh anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Johari Abdul Ghani merangkap Menteri Kewangan Kedua, di sini hari ini.
Jailani berkata anggota parti perlu terus berpegang kepada tiga elemen yang menjadi tonggak UMNO yang kekal memerintah sejak 1946 iaitu permuafakatan dan perpaduan, kesetiaan kepada parti dan hormat kepada pemimpin dan pucuk pimpinan.
"Kita ini adalah generasi pewaris kepada sebuah wadah yang mengumpul kekuatan dan kesatuan orang Melayu... walau apapun perbezaannya dan biar sehebat manapun ribut dan gelora politik yang melanda, wadah inilah yang selama ini menjadi pengikat untuk kita bergerak sebagai satu pasukan," katanya.
Jailani berkata UMNO Terengganu perlu bekerja kuat bagi memastikan negeri tersebut tidak kembali jatuh ke tangan pembangkang pada PRU14 seperti yang pernah berlaku pada pilihan raya umum 1999.
"Jangan ada sikap 'cah keting' kerana kalau kita sudah buat kerja tetapi ada hasad dengki, sia-sia sahaja kerja yang dilakukan dan dalam perjuangan parti kita harus ada 'teamwork' dan akur kepada pemimpin yang dipilih dalam satu kapal bukannya dua nakhoda," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment