Wednesday, May 1, 2019

KEJAR LORI MILO UNTUK MENANTU MENGIDAM DAPAT PERHATIAN NESTLE

KUANTAN, 1 Mei (Bernama) -- Video yang tular mengenai seorang wanita mengejar 'lori Milo' bagi menunaikan impian menantunya yang mengidam mendapat perhatian Syarikat Nestle (Malaysia) Berhad yang segera memenuhi impian wanita sarat mengandung itu dengan menghantar air Milo terus ke rumahnya.

Kehadiran lori hijau putih di hadapan sebuah rumah di Bukit Istana di sini baru-baru ini menyebabkan Natasya Rose Nizam, 23, kelu kerana sudah hampir enam bulan beliau mengidam untuk meneguk minuman tersebut.

"Saya terharu dan hampir menangis apabila melihat lori Milo berada di depan mata.. sejak mengandung dua bulan saya mengidamnya dan Alhamdulillah hajat itu tercapai hari ini, semasa kandungan sudah berusia lapan bulan.

"Saya mengidam air lori Milo kerana teringat kenangan dan kesedapan minuman ini, setiap kali lori Milo datang ke sekolah dahulu," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini, hari ini.

Natasya Rose yang kini menanti kelahiran anak sulungnya berkata beliau telah mencuba pelbagai minuman coklat, namun tiada satu pun yang dapat memuaskan keinginannya selain 'air lori Milo'.

Hasrat Natasya Rose 'tersebar secara tidak sengaja' apabila video ibu mentuanya Datin Hasmazura Shahbudin, 46, mengejar lori Milo di Jalan Pintasan Kuantan di sini bagi menunaikan permintaan menantunya tular di laman sosial.

Suami Natasya Rose, Muhammad Azmer Mohd Badrul, 23, berkata beliau yang ketika itu sedang memandu memuatnaik video ibu dan adiknya mengejar lori Milo tersebut kerana berasa insiden itu kelakar.

"Saya berterima kasih kepada netizen yang menularkan video tersebut sehingga mendapat perhatian Nestle... Ibu saya menahan lori itu pada pukul 10 pagi Isnin, dan pada tengah hari, Nestle menghubungi saya untuk mengaturkan kejutan ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Pengguna, Unit Perniagaan Milo Maria Murni Nur Azmi berkata ini merupakan pertama kali mereka membuat kejutan seperti ini kepada ibu mengandung yang mengidam.

Beliau berkata, lori Milo yang dikejar ibu mentua Natasya tidak dapat menunaikan permintaannya pada waktu itu kerana kawasan tersebut tidak selamat untuk berhenti dan lagipun air Milo belum dibancuh.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment