KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Majlis Penganugerahan Property Insight Prestigious Developers Award (PIPDA) 2019 malam ini menyaksikan lebih 40 pemaju hartanah tempatan meraih anugerah dalam pelbagai kategori untuk pencapaian terbaik dalam sektor hartanah.
Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad pada majlis yang berlangsung di sini.
Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan Pengarah Urusan dan Ketua Pengarang Property Insight Datuk K.K Chua.
Chua berkata PIPDA 2019 bertemakan “Redefining Excellence” telah menerima 120 pencalonan untuk 43 anugerah pembangunan.
"Kami berharap jumlah ini akan meningkat tahun depan apabila kita melangkah ke tahun 2020 ... kami memberi penghormatan kepada pemaju yang membuktikan kecemerlangan bukan hanya kepada pasukan editorial, tetapi juga kepada panel hakim," katanya.
Pemenang anugerah pembangunan antaranya ialah Mah Sing Group Berhad yang merangkul enam kategori termasuk Pembangunan Kehidupan Keluarga Terbaik dan juga meraih anugerah Top 10 Developer untuk tahun kelima berturut-turut.
Dalam pada itu, Matrix Concepts Holdings Berhad memenangi Best Landed Development (Northern) Award, LBS Bina Group Berhad (Best Affordable Landed), UDA Holdings Berhad (Best Gated and Guarded Development (Northern), Sime Darby Elmina Development Sdn Bhd (Best Wellness Township Development) dan Hartawan Megajaya Sdn Bhd (Best Luxury Landed Development).
Para pemenang dipilih berdasarkan empat kriteria iaitu rekod prestasi, konsep, reka bentuk bangunan dan penciptaan nilai dan diadili oleh lima pihak yang mempunyai kepakaran dalam industri termasuk Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) Ezumi Harzani.
Majlis penganugerahan berprestij itu dihadiri oleh lebih 700 tetamu terdiri daripada pemain industri dalam sektor hartanah dan dianjurkan oleh Property Insight, majalah pelaburan hartanah yang diterbitkan setiap bulan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment