Tuesday, May 7, 2019

30 PERATUS YB DAP DI BAWAH UMUR 40 TAHUN

SANDAKAN, 7 Mei (Bernama) -- Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh menyangkal dakwaan kononnya calon DAP bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee seorang yang tidak berpengalaman, muda dan tidak boleh berkhidmat kepada rakyat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata Wong cukup berpengalaman malah pernah berkhidmat bukan sahaja di peringkat Parlimen Sandakan tetapi juga negeri setelah menjadi pegawai khas dalam Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

“Wong merupakan ikon kepada pengundi dan anggota DAP untuk melihat pimpinan belia dan wanita cemerlang. Semasa saya mula menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor pada 2008, saya lebih muda , ketika itu umur saya 29 tahun.

“Wong sekarang 30 tahun, jadi tidak terlalu muda dan tidak sepatutnya dia (Wong) dikatakan tidak berpengalaman. Belia kini jauh ke hadapan”,” katanya pada sidang media bersama Wong, di sini hari ini.

Hannah berkata berdasarkan statistik parti itu, 42 anggota parti terdiri daripada Anggota Parlimen dan 108 ADUN.

“Dalam peratusan golongan yang terpilih, 20 peratus daripada jumlah wakil rakyat dipilih adalah wanita manakala 30 peratus daripada jumlah wakil rakyat itu adalah dibawah umur 40 tahun,”katanya.

Beliau berkata parti DAP merupakan pilihan tepat untuk orang muda malahan DAP juga mempunyai sistem mentor yang cukup berkesan sejak 2008 hingga sekarang apabila mempunyai ramai wakil rakyat dan Anggota Majlis terdiri dalam kalangan wanita.

Katanya 21.7 peratus daripada 172,000 keanggotaan DAP terdiri daripada golongan belia dibawah umur 40 tahun.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment