PUTRAJAYA, 17 Mei (Bernama) -- Sebuah parti yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara antirasuah yang dikenali sebagai Parti Negara hari ini menghantar permohonan pendaftaran kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) di sini.
Presiden penaja Parti Negara Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor ketika ditemui media selepas menghantar permohonan itu berkata beliau percaya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan di bawah kerajaan Pakatan Harapan akan meneliti permohonan parti itu dengan adil dan memberikan kelulusan.
Menurutnya, Parti Negara merupakan sebuah parti bebas dan berbilang kaum yang terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
"Pada masa ini tidak ada pihak yang lantang menentang rasuah. Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) parti pembangkang ketika itu agresif mendedahkan salah laku rasuah, namun kini pihak yang dulu membangkang sudah menjadi kerajaan dan sibuk.
"Sementara pembangkang hari ini lebih sibuk hal lain berbanding isu rasuah. Ini merupakan satu perkembangan yang tidak sihat," kata Mohamad Ezam, 52.
Katanya beliau menyokong komitmen Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menentang rasuah dan berharap Dr Mahathir boleh kekal untuk tempoh satu penggal atau sekurang-kurangnya tiga tahun demi memastikan usaha membanteras rasuah lebih efektif.
Sebelum PRU14, Mohamad Ezam pernah cuba mendaftar sebuah parti antirasuah yang dinamakan Parti Bebas Rasuah namun tidak diluluskan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment