Saturday, May 25, 2019

TAK PAYAH JADI MENTERI KALAU RIMAS TENGOK KAWAN DATANG MINTA AP



PUTRAJAYA 23 Mei - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub memberitahu bahawa beliau berasa ‘cukup rimas’ dengan pihak-pihak tertentu termasuk ahli-ahli parti yang datang kepadanya untuk meminta pelbagai kemudahan seperti permit import (AP) dan tender-tender kementerian.



Beliau menegaskan, pihaknya bagaimanapun akan tetap meletakkan integriti di peringkat tertinggi selaras dengan falsafah kewujudan Pakatan Harapan (PH) iaitu dalam memastikan penjawat awam berada di tempat sewajarnya sambil dipandu oleh kepemimpinan politik yang tidak korup.


Ke arah itu kata beliau, pihaknya akan melihat prosedur paling tepat dan terbaik bagi memastikan semua AP dan tender-tender yang dikeluarkan menepati ciri-ciri indeks integriti sekali gus menjadikan kementerian contoh dalam soal ketelusan.

“Saya cukup rimas dengan kawan-kawan dan ahli-ahli parti yang datang meminta AP, meminta itu dan ini, tender-tender dalam kementerian. Itu ‘direngekkan’ ke dalam telinga menteri,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

Pada sidang akhbar selepas itu, Salahuddin menambah, amalan terdahulu yang ingin dihapuskan kementerian adalah rent-seeker iaitu pihak yang tidak memiliki kilang dan industri tetapi mendapat AP.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, kementerian mahu memberikan kemudahan seumpama itu kepada mereka yang benar-benar terlibat dalam industri.

“Itu yang kita akan buat. Saya dan timbalan menteri (Sim Tze Tzin), kita juga ada ahli parti dan penyokong. Kalau kita kena layan seperti ini, tiada bezalah kita dengan kerajaan dahulu. Jadi rakyat mahu melihat perubahan ini sebab itu kita akan pergi ke satu proses yang kita boleh beritahu rakyat tentang proses itu.

Tambahnya, ketika ini semua proses permohonan AP adalah melalui dalam talian, bermakna ianya terbuka kepada sesiapa sahaja yang layak tambahan pula permohonan itu akan disiasat oleh jawatankuasa teknikal.

“Ini kita buat dengan lebih telus supaya tidak berlaku ketirisan pada masa akan datang. Kita berusaha sebaik-baiknya,” katanya.


Sementara itu berhubung syarikat yang akan meneruskan matlamat syarikat National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFC) sebelum ini, Salahuddin berpendapat, jika syarikat itu boleh memenuhi terma dan syarat ditetapkan maka tiada masalah bagi kementerian untuk menjadi pemudahcara.

“Hanya satu syarikat sahaja yang tampil dan ia syarikat tempatan. Saya rasa selepas diselesaikan semua pinjaman Kementerian Kewangan, kita harus melihat terma rujukan agar semuanya kembali ke landasan dan kementerian akan membantu mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment