Friday, May 31, 2019

TAKKAN 300,000 PENERIMA BSH TAK TAHU TULIS NOMBOR AKAUN?

PUTRAJAYA, 31 Mei (Bernama) -- Bantuan Sarah Hidup (BSH) 2019 fasa kedua tidak dapat dikreditkan ke dalam akaun bank kira-kira 300,000 penerima berikutan nombor akaun yang didaftarkan tidak tepat.

Kementerian Kewangan, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pembayaran untuk penerima berumur 59 tahun ke bawah adalah melalui akaun bank isteri, seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Namun demikian, sebilangan penerima BSH 2019 telah mendaftarkan nombor akaun bank suami dan ini mengagalkan pengkreditan akaun kerana nombor akaun tersebut bukan di bawah nama isteri," katanya.

Justeru, Kementerian Kewangan berkata bagi memastikan mereka menerima bayaran itu, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan mewujudkan akaun bank baharu secara automatik untuk penerima berkenaan.

"Pembayaran bagi golongan tersebut akan dikreditkan terus ke akaun berkenaan mulai 14 Jun 2019," menurut kenyataan itu.

Kementerian Kewangan berkata maklumat akaun bank baharu boleh diketahui melalui surat makluman yang akan dikeluarkan atau dengan melayari portal BSH https://bsh.hasil.gov.my.

Di samping itu,terdapat juga 300,000 penerima BSH 2019 dari kawasan pedalaman yang mempunyai akaun bank akan turut menerima pembayaran mulai 14 Jun, manakala mereka yang tiada akaun pula akan dibayar secara tunai mulai 1 Julai.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta e-mel kepada bsh@treasury.gov.my.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan hampir 3.6 juta penerima akan menerima bayaran fasa kedua dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.42 bilion.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment