KUALA NERUS, 8 Mei (Bernama) -- Ulat bulu, mas sejemput, tahi itik, kuih rrepok, tok aji serban, jala mas, tepung gomok, kuih kepal, lok lik, kuih beronok, slemang dan nekbat.
Nama-nama itu mungkin kedengaran lucu, namun itulah antara kuih tradisional Terengganu yang menjadi buruan peminat kuih-muih terutama warga emas di bazar Ramadan ketika ini.
Tinjauan Bernama di bazar Ramadan Batu Enam di sini mendapati tidak ramai pengusaha kuih-muih yang menjualnya disebabkan kesukaran proses membuat makanan tradisional itu.
Seorang peniaga, Zawiyah Dagang, 48, berkata Batu Enam memang terkenal sebagai 'syurga makanan tradisi', namun sejak kebelakangan ini, tidak ramai peniaga yang meneruskan pembuatan kuih-muih itu kerana proses pembuatan yang leceh dan mengambil masa agak lama berbanding kuih lain.
"Hanya dua peniaga termasuk saya yang masih menjual kuih rrepok dan kuih kepal di pasar ini sekarang. Bagaimanapun, kuih lain masih boleh didapati di sini kerana masih ada orang yang mahir membuatnya.
"Proses pembuatan kuih rrepok misalnya diperbuat daripada kacang hijau yang perlu direbus sehingga kering dan perlu diulang sebanyak tiga kali bagi memastikan ia empuk sebelum dicampur dengan manisan seterusnya diuli bulat dan dimakan dengan parutan kelapa muda," katanya yang menjual kuih itu pada harga RM2 untuk lima biji.
Beliau adalah generasi ketiga yang menjalankan perniagaan kuih di pasar itu sejak neneknya berniaga 50 tahun lalu.
Seorang lagi peniaga, Safinah Saari, 30, berkata beliau menjual lebih 50 jenis kuih di gerainya itu sepanjang Ramadan kali ini dengan tambahan beberapa kuih istimewa seperti mas sejemput, kuih tanjung, tahi itik dan kuih kepal.
"Kalau hari biasa, memang payah nak jumpa kuih-kuih tradisional ini, namun saya bernasib baik kerana ada beberapa pembuat kuih yang mahu membekalkan kuih mereka di gerai saya khas untuk Ramadan.
"Dengan adanya kuih-muih tradisional, lebih ramai pengunjung datang ke gerai saya kerana mahu menikmati keenakan kuih warisan nenek moyang dengan resipi turun-temurun pembuatnya," katanya yang dibantu empat pekerja sepanjang berniaga pada bulan Ramadan.
Sementara itu, beberapa pengunjung yang ditemui Bernama mengakui mereka sanggup datang ke bazar Ramadan Batu Enam hanya semata-mata mahu membeli kuih tradisional itu kerana tidak banyak lokasi bazar lain yang menjualnya.
Fatimah Tambon, 67, berkata beliau amat menggemari kuih rrepok dan kuih kepal kerana ia mempunyai kenangan tersendiri ketika waktu kecilnya.
"Sekarang, hanya di Batu Enam kuih ini dijual. Begitu juga dengan kuih lok lik yang hanya terdapat di Kedai Buluh dekat Marang. Jadi, setiap kali Ramadan, memang saya akan datang ke sini untuk mencari kuih kegemaran.
"Dulu saya buat sendiri kuih bila terasa nak makan, tapi bila dah berusia ni, badan tak berapa sihat, setakat makan untuk seorang, saya beli sahaja lah," katanya.
Seorang kakitangan swasta, Nurin Adina Ramli, 42, berkata menjadi rutinnya untuk datang ke Batu Enam setiap kali Ramadan untuk membeli kuih kegemaran ibu bapanya iaitu mas sejemput, kuih rrepok dan kuih tanjung.
"Mak ayah memang suka sangat kuih ini sebab biasanya hanya dijual pada Ramadan. Saya pula tak sempat nak buat sendiri sebab agak leceh prosesnya, ambil masa yang lama.
"Paling istimewa, rasa kuih-muih tradisional ini kekal tidak berubah, mungkin resipi yang digunakan adalah sama. Jadi lebih mudah dan berbaloi untuk beli sahaja," katanya yang berharap keluarga pembuat kuih tradisional akan mengekalkan perniagaan mereka.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment