KUALA TERENGGANU, 19 Mei (Bernama) -- Bersahur dengan ditemani deruan angin dan bunyi ombak di Pantai Batu Buruk menjadi trend masyarakat di sekitar Kuala Terengganu sejak lima tahun lepas.
Namun, kali ini ia lebih meriah apabila terdapat penambahan jumlah peniaga dan keunikan menu yang dijual menerusi ‘Car Food Sahur’ hingga berjaya menarik ribuan pengunjung setiap hari.
Berdasarkan tinjauan Bernama, kebanyakan pengunjung memilih bersahur di tepi pantai dengan hanya beralaskan tikar dan ada yang membawa meja kecil ‘ala Jepun’, ditemani kaum keluarga dan sahabat handai.
Lebih unik apabila peniaga di situ berpakaian santai dengan tema tradisional iaitu berkain batik dan berbaju kurung kedah bagi wanita manakala lelaki berpakaian kemeja T pagoda dan berkain pelikat.
Seorang peniaga, Muhd Afiq Mohd Noor, 25, berkata kehadiran pengunjung semakin meriah dengan anggaran peningkatan sebanyak dua kali ganda berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana pertambahan peniaga sehingga 30 orang berbanding hanya 25 orang pada tahun lepas.
"Saya telah berniaga di sini sejak tiga tahun lepas lagi dan pada tahun ini boleh dikatakan perniagaan saya agak laris di sini sehingga perlu menambah stok jualan sotong bakar setiap hari bagi menampung permintaan pelanggan yang datang bersahur.
"Alhamdulillah, dalam tempoh tiga jam, saya mampu menjual kira-kira 200 ekor sotong bakar gred A yang disiram bersama sos ala Thailand yang dijual dengan harga RM14 hingga RM20 seekor," katanya.
Peniaga makanan ala barat, Qairun Natasya Ramli, 19, pula berkata menjelang 12 tengah malam, keadaan di Pantai Batu Buruk akan mulai sesak apabila orang ramai mula memenuhi kawasan Car Food Sahur untuk menikmati juadah kegemaran mereka secara santai bersama kawan dan keluarga.
"Kami mula berniaga dari pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi. Apa yang menarik di sini ialah setiap peniaga 'diwajibkan' menjual satu jenis makanan khas di gerai mereka dan menu itu tidak boleh sama dengan gerai yang lain dan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengunjung,” katanya.
Seorang pengunjung, Hamim Umairah Abd Latif, 26, berkata beliau mengetahui kewujudan Car Food Sahur tersebut apabila ianya menjadi tular di laman sosial Facebook sejak minggu lalu.
Bagi Muhammad Azizi Abd Aziz, 23, pula, kewujudan Car Food Sahur ini memberikan lebih banyak pilihan kepada golongan muda sepertinya untuk menikmati juadah bersahur di samping merapatkan silaturahim bersama rakan-rakan dan anggota keluarga.
"Bagi perantau seperti saya, berada di Car Food Sahur dapat mengurangkan kerinduan suasana bersahur bersama keluarga yang berada jauh di kampung halaman di Tumpat, Kelantan,” katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment