Thursday, May 30, 2019
REZEKI ANAK DAPAT TEMPAHAN 300 PASANG BAJU
KUALA TERENGGANU: LAZIMNYA setiap pelanggan hanya menempah dua hingga tiga pasang baju kurung seorang untuk menyambut Aidilfitri tetapi berbeza dengan seorang tukang jahit apabila menerima tempahan 30 pasang baju kurung daripada seorang pelanggannya.
Suhaida Mohd Saidi, 36, berkata, ia pengalaman pertama menerima tempahan 30 pasang baju kurung untuk seorang pemilik sepanjang 18 tahun bergelar tukang jahit.
“Jika difikirkan memang tidak masuk akal tetapi itu realiti yang berlaku bagi mereka yang berkemampuan dan sebagai tukang jahit, saya cuba memenuhi permintaan itu.
“Alhamdulillah, pelanggan itu membuat tempahan pada awal Ramadan dan hanya tinggal tujuh lagi pasang baju yang belum disiapkan,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Pak Katak di sini, semalam.
Menurut Suhaida yang hamil anak keempat, tempahan yang diterimanya pada tahun ini turut meningkat kepada lebih 300 pasang baju berbanding hanya 200 pasang baju tahun lalu dengan tempahan terbaru diterima pada 22 Mei lalu.
“Peningkatan tempahan menyebabkan waktu rehat tidak menentu kerana saya mahu memastikan tempahan yang diterima siap pada masa yang dijanjikan.
“Biasanya saya mula menjahit pada jam 8 pagi hingga 12 tengah malam dan pada 10 akhir Ramadan ini, ia dilanjutkan sehingga jam 3 pagi bagi menyiapkan semua tempahan,” katanya.
Menurutnya, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang masalah biarpun sedang hamil tujuh bulan, sekali gus memudahkan dia menyiapkan tempahan.
“Walaupun berbadan dua, saya tetap mengambil tempahan daripada pelanggan kerana tidak mahu menghampakan pelanggan selain turut membantu tukang jahit lain menyiapkan tempahan yang tidak mampu disiapkan sebelum Aidilfitri.
“Biasanya baju kurung biasa hanya mengambil masa lima jam untuk disiapkan tetapi baju kurung berfesyen pula boleh memakan masa satu hari untuk disiapkan,” katanya yang dibantu ibunya, Kamas Mat Zin, 61.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment