Monday, May 6, 2019

CHICKEN COTTAGE AKHIRNYA DITUTUP

KUALA TERENGGANU, 6 Mei (Bernama) -- Penutupan Chicken Cottage di Ladang Tok Pelam di sini selepas Aidilfitri nanti adalah antara proses rasionalisasi yang perlu diambil ekoran kerugian yang dialami restoran makanan segera jenama antarabangsa milik kerajaan negeri Terengganu itu.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pada masa yang sama kerajaan negeri sedang memikirkan strategi terbaik yang boleh memberi nafas baharu kepada perniagaan itu agar ia boleh dibuka semula di lokasi lain dalam tempoh dua tahun lagi.

"Kerugian dialami melibatkan Chicken Cottage di Malaysia sahaja sedangkan di luar negara, perniagaan ini berkembang dengan sangat baik terutama di United Kingdom.

"Di Malaysia, terdapat dua cawangan Chicken Cottage iaitu di Kuala Terengganu (Ladang Tok Pelam) dan di Taman Tun Dr Ismail (di Kuala Lumpur). Restoran di Kuala Terengganu akan ditutup selepas Aidilfitri nanti manakala di TTDI akan terus beroperasi buat sementara waktu," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan 2,000 pek bubur lambuk di Masjid Abidin, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri juga mempelawa mana-mana pihak yang berminat untuk membuka cawangan Chicken Cottage dengan konsep francais.

Menurutnya, model perniagaan itu di luar negara tidak berdepan masalah kerana berkonsepkan francais, namun di Malaysia, ibu pejabat Chicken Cottage sendiri yang membuka cawangan dan ia menyebabkan kerugian dalam beberapa aspek termasuk operasi.

"Kerugian dialami ini agak kompleks kerana ia melibatkan hutang lampau yang begitu banyak akibat pelaburan yang dilakukan beberapa tahun dulu, jadi untuk mengatasinya kita perlukan proses rasionalisasi yang diharap dapat melonjakkan semula perniagaan ini dalam tempoh dua tahun lagi," katanya.

Chicken Cottage cawangan Kuala Terengganu mula beroperasi di Ladang Tok Pelam pada 18 Dis 2014 manakala cawangan kedua di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dibuka pada 1 April 2018.

Rangkaian restoran makanan segera itu mula beroperasi di Wembley, United Kingdom pada 1994 dan sehingga kini mempunyai lebih 100 francais di United Kingdom, Eropah, Afrika Utara dan Asia Barat.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment