Sunday, May 5, 2019

JANGAN BERBALAH PESAN SHAFIE KEPADA AHLI WARISAN

PENAMPANG, 5 Mei (Bernama) — Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta semua anggota merapatkan barisan sekali gus memperkukuh perpaduan parti selepas pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan bagi penggal 2019/2021 selesai dijalankan.

Beliau berkata Warisan adalah sebuah keluarga yang memerlukan kerjasama, kesefahaman dan keharmonian antara anggota memandangkan parti itu menjadi tulang belakang kepada kerajaan negeri.

Mohd Shafie tidak mahu pemilihan AMT, yang buat pertama kali dijalankan selepas Warisan ditubuhkan pada 2016, menjadi punca perbalahan kerana ia jelas tidak elok untuk kelangsungan parti.

“Kepada yang menang, saya ingin mengingatkan mereka supaya menjalankan tanggungjawab sebaiknya, manakala kepada yang kalah, jangan kecewa kerana perjuangan kita bukan untuk mendapat jawatan.

“Jangan berbalah sebaliknya kita perlu bekerjasama memperkuatkan parti,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan Warisan 2018/2019 di sini, hari ini.

Seramai lapan wakil rakyat termasuk menteri dan pembantu menteri terpilih sebagai AMT Warisan pada pemilihan itu bagi penggal sehingga 2021.

Mereka ialah Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Mokhtar, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Chong Chen Bin, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Hiew Vun Zin dan Pembantu Menteri Kewangan Sabah Sarifuddin Hata.

Turut terpilih ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Assaffal P Alian, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Azhar Matusin, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Daud Yusof serta Anggota Parlimen Papar Ahmad Hassan.

Pemilihan itu turut menyaksikan Siti Aminah Jabarkhan dipilih sebagai Ketua Wanita Warisan yang pertama manakala jawatan Timbalan Ketua Wanita Warisan dimenangi oleh Mary Juney George.

Sementara itu, jawatan presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan berkenaan.

Jawatan itu masing-masing disandang oleh Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking; Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong; Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony; serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong.

Jawatan Ketua Wira dan Ketua Wirawati juga tidak dipertandingkan dan masing-masing disandang oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman dan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis.

— BERNAMA

No comments:

Post a Comment