Monday, July 2, 2018

NGA KOR MING PERSENDA MAHATHIR DALAM CERAMAH TAKKAN NAK DILANTIK MENTERI?



KUALA LUMPUR: Pemuda DAP mengkritik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana tidak mengikuti senarai calon menteri yang dicadangkan kepimpinan DAP, termasuklah Anggota Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dan MP Stampin Chong Chieng Jen.

Ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh menyoal jika Dr Mahathir pada masa hadapan akan menolak setiausaha agung DAP sebagai menteri, jawatan tertinggi parti yang kini disandang Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

"Kini cadangan yang dikemukakan oleh DAP telah diketepikan, sekiranya Setiausaha Agung DAP juga ditolak pelantikannya atas mana-mana sebab pada satu hari nanti, adakah DAP tetap akan dipaksa menerima keputusan sebegini?" Soal Wong dalam suatu kenyataan.

Wong turut mengadu barisan kabinet tidak mencerminkan jumlah kerusi yang dimenangi DAP yang memenangi jumlah kerusi parlimen kedua terbanyak selepas PKR.

"Tindakan Perdana Menteri adalah tidak berpatutan lantaran pengaturan senarai kabinet tersebut tidak mengikuti bilangan kerusi yang dimenangi oleh sesebuah parti untuk mengilustrasikan hasrat rakyat...

"...malah keputusan sedemikian juga tidak menghormati cadangan pimpinan parti seperjuangan," katanya.


Guan Eng sewaktu berkempen dalam PRU14 menjanjikan Nga dan Chong dilantik menjadi menteri jika Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya.

Bagaimanapun, Mahathir enggan menerima Nga di dalam kerajaan sementara Chong pula dilantik sebagai timbalan menteri.

"Apabila keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan memberikan kuasa kepada YAB Perdana Menteri untuk memilih dan melantik menteri, sesungguhnya ini juga bermakna bahawa Perdana Menteri akan melantik menteri dalam kalangan senarai calon yang dikemukakan oleh parti-parti...

"... dan Perdana Menteri harus menghormati pilihan komponen parti dalam Pakatan HARAPAN supaya ia dapat membentuk sebuah kabinet yang sempurna," kata Wong yang berasal dari Perak, manakala Nga Kor Ming ialah pengerusi DAP negeri.

Wong berkata Nga dan Chong merupakan pemimpin berbakat dengan pengalaman yang banyak.

Beliau juga berkata Pemuda DAP tidak mempersoalkan pertimbangan perdana menteri dalam memilih jemaah menterinya tetapi DAP tahu kemampuan calon-calonnya dengan lebih baik.

Wong menjelaskan kritikan Pemuda DAP bukan kerana merebut jawatan menteri tetapi demi menghormati hasrat rakyat.

"DAPSY ingin menegaskan bahawa pandangan terhadap senarai kabinet yang diumumkan YAB Perdana Menteri bukan berniat untuk merebut mana-mana jawatan menteri tetapi adalah untuk menghormati hasrat rakyat serta mempertahankan maruah parti demi memastikan tidak wujudnya sistem cacat bahawa sesebuah parti terlalu berkuasa dalam Pakatan Harapan," katanya yang menegaskan keputusan patut dibuat secara persetujuan bersama.

No comments:

Post a Comment