Tuesday, July 17, 2018

JANGAN SOMBONG DAN CAKAP KASAR BILA BERTUGAS DI KAUNTER UTAMA


KUALA TERENGGANU, 17 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan kakitangan awam yang berkhidmat di bahagian kaunter mana-mana jabatan atau agensi kerajaan di negeri ini supaya tidak bersikap pilih kasih terhadap pelanggan.

Beliau berkata mereka yang terlibat seharusnya bersikap profesional tanpa membuat penilaian luaran berdasarkan 'penampilan' seseorang.

"Lihatlah mana negara-negara maju lain seperti di Amerika dan Eropah yang begitu menghormati setiap rakyat yang datang berurusan dengan mereka, walaupun seorang pakcik berpakaian compang-camping tetap dipanggil dengan gelaran mesra...dijemput duduk untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan.

"Kenapa kita tak boleh lakukan perkara sama kepada rakyat kita? Saya sangat berharap agar perkhidmatan di kaunter ini akan berubah dengan semangat profesionalisme yang tinggi," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Ucap Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas status dalam laman Facebook rasminya malam semalam berhubung pengalaman isterinya yang terkilan dengan sikap kurang berbudi bahasa seorang pegawai di kaunter Pejabat Pendidikan Kuala Terengganu di Wisma Persekutuan.

Dalam catatan status itu, Ahmad Samsuri berkata isterinya pergi ke pejabat itu pada kira-kira 11.30 pagi atas urusan pertukaran anaknya ke sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu.

"Saya merasa sangat terkilan dengan sikap kurang budi bahasa dan profesionalisme seorang pegawai di kaunter untuk urusan sekolah menengah, bila bercakap kasar dan sombong. Kalau beginilah sikap sesetengah pegawai berurusan dengan rakyat, ia sangat memalukan.

"Sudah tentu saya akan memaklumkan kepada Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik) bila bertemu nanti - iaitu sebahagian isu kerosakan profesionalisme," catatnya dalam status yang mendapat lebih 12,000 reaksi dan 1,966 perkongsian netizen di seluruh negara itu.

Ahmad Samsuri, bagaimanapun menegaskan perkara itu sudah diselesaikan dengan baik dan pegawai terbabit telah memohon maaf serta semua pihak termasuk isterinya kini berlapang dada dengan insiden tersebut.

"Pesanan saya kepada isteri apabila pergi berurusan ke mana-mana sahaja jangan perkenalkan diri sebagai isteri menteri besar, cukuplah datang sebagai rakyat biasa.

"Dari situlah baharu kita boleh membuat penilaian, senang atau susah, bagus atau tidak sesuatu perkhidmatan tersebut," katanya sambil berharap insiden itu menjadi pengajaran dan tidak berulang lagi pada masa akan datang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment