Thursday, July 5, 2018

IBU TUNGGAL TERENGGANU PALING RAMAI DI KEMAMAN SERAMAI 5,279 ORANG

KUALA TERENGGANU, 4 Julai (Bernama) -- Nasib 32,411 ibu tunggal di seluruh Terengganu terus terbela apabila kerajaan negeri bersedia meningkatkan taraf kehidupan mereka menerusi bimbingan ekonomi dan kemahiran diri, perundangan, kekeluargaan serta kesihatan dan kemasyarakatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata terdapat dua kompleks khas untuk golongan itu menjalankan pelbagai aktiviti bersesuaian iaitu Bangunan Ibu Tunggal di Kampung Serdang Baru di Kuala Nerus dan Kompleks Ibu Tunggal di Chendering.

Katanya kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) juga akan terus membantu ibu tunggal termasuk membantu mereka dari segi pembiayaan perniagaan.

"Contohnya, program Pinjaman Jaya Diri (PJD) telah memperuntukkan sebanyak RM474,000 bagi membantu 52 ibu tunggal menceburkan diri dalam bidang perniagaan, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini."

"Kebanyakan mereka menjalankan perniagaan dalam bidang kecantikan, pakaian dan perusahaan makanan," katanya menjawab soalan lisan tambahan Alias Harun (PAS-Rantau Abang) yang ingin tahu langkah kerajaan negeri membela nasib ibu tunggal dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini hari ini.

Beliau berkata daripada 32,411 ibu tunggal itu, daerah Kemaman merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 5,279 orang diikuti 4,768 di Besut, Marang (4,305), Dungun (4,182), Kuala Terengganu (3,925), Kuala Nerus (3,658) Setiu (3,307) dan Hulu Terengganu (2,987).

"Daripada jumlah itu seramai 28 orang ibu tunggal berumur di bawah 20 tahun manakala 2,010 orang (21 hingga 30 tahun), 4,783 orang (31 hingga 40 tahun), 6,506 orang (41 hingga 50 tahun), 9,556 orang (51 hingga 60 tahun) dan 9,528 orang di atas 61 tahun," katanya.

Sementara itu ketika sidang media Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata kerajaan negeri memerlukan lebih RM63 juta untuk menyiapkan lima lagi pakej projek pembinaan Zon Bebas Cukai di Pulau Bayas dekat Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Katanya setakat 31 Oktober tahun lalu, projek itu hanya siap 77.53 peratus dengan perbelanjaan sebanyak RM144 juta.

"Sepatutnya semua projek ini sudah siap dengan peruntukan asal sebanyak RM207 juta. Kerajaan negeri tidak boleh beri jaminan dapat menambah duit itu dalam masa terdekat kerana kami akan tengok dulu keadaan kewangan negeri."

"Namun, jika kita mampu dari segi kewangan, kita akan teruskan sahaja projek ini sebab ia sudah siap 77 peratus, takkan kita nak berhentikan sahaja...ini akan membazirkan duit rakyat. Bila semuanya sudah siap, kerajaan negeri akan cari operator yang berpotensi dalam menguruskan kawasan bebas cukai ini sebagai pemangkin ekonomi negeri," katanya.

Terdahulu, menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepuh) berkenaan status terkini pembangunan zon bebas cukai di Pulau Bayas, Tasik Kenyir itu, beliau berkata hanya satu daripada enam pakej telah berjaya disiapkan setakat ini.

"Antara pakej yang masih belum siap ialah kerja menyiapkan bangunan terminal utama jeti penumpang dan kerja berkaitan di Pulau Bayas iaitu hanya 80.84 peratus siap, pusat beli belah dan kerja pembangunan KTC (55.04 peratus), menyiapkan pencawang elektrik, sistem agihan bekalan tinggi dan rendah (50 peratus)."

"Kemudiannya kerja pembinaan jalan servis pendaratan bot, paip air kumbahan dan kerja berkaitan (99.44 peratus) dan sistem rawatan air dan kumbahan serta kerja berkaitan di Pulau Bayas (79.9 peratus)," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment