Tuesday, July 3, 2018

ENAM PROJEK DI BAWAH BN LIBATKAN KOS LEBIH RM3.2 BILION

KUALA TERENGGANU, 3 Julai (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini diberitahu terdapat enam projek yang dilaksanakan kerajaan negeri terdahulu dengan konsep kerjasama awam swasta (PPP) melibatkan kos lebih RM3.2 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata terdapat dua kaedah pembayaran dalam enam projek PPP iaitu pembayaran tertangguh dan kaedah bayaran berjadual yang telah dibayar bermula dari 2016 hingga 2032.

"Projek tersebut ialah Loji Rawatan Air di Bukit Sah, Kemaman dengan kos RM686.87 juta yang perlu dibayar dalam tempoh enam tahun, Skim Bekalan Air Kuala Terengganu Utara (RM1.3 bilion - 13 tahun), Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus (RM600 juta - lapan tahun enam bulan).

"Muara Sungai Terengganu (RM90.24 juta - lima tahun), asrama atlet Majlis Sukan Negeri (RM95.49 juta - lima tahun) dan pembangunan Bandar Baru Kijal fasa dua di Kemaman (RM250 juta - lima tahun)," katanya ketika menjawab soalan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) pada persidangan DUN di sini hari ini.

Menjawab soalan tambahan Hishamuddin mengenai jumlah bayaran tahunan pula, Dr Mamad berkata bayaran pada 2016 dan 2017 ialah sebanyak RM70 juta setahun manakala pada tahun ini, jumlah yang perlu dibayar ialah sebanyak RM101.2 juta.

"Seterusnya pada 2019, kerajaan negeri perlu bayar RM290.8 juta, 2020 (RM348.1 juta), 2021 (RM382.2 juta), 2022 (RM371.4 juta), 2023 (RM339.6 juta), 2024 (RM248.1 juta) manakala tahun 2025 hingga 2031, jumlah perlu dibayar ialah RM761.6 juta dalam tempoh tujuh tahun dan bayaran terakhir pada 2032 ialah sebanyak RM45.3 juta," katanya.

Dr Mamad juga menegaskan kerajaan negeri akan meneruskan projek menggunakan konsep itu pada masa akan datang terutama yang melibatkan keperluan mendesak rakyat seperti menaik taraf loji rawatan air.

"Bagaimanapun, sudah tentu kajian perlu dibuat mengenai kemampuan kewangan negeri agar kita tiada masalah dalam proses pembayaran semula seperti yang ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment