Sunday, June 17, 2018

"KEMAMAN BERUBAH" TENTANG PASUKAN PENYANDANG DI KEMAMAN



KEMAMAN: "Kemaman Berubah" yang diketuai bekas Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Mat Dalam Awang dikatakan akan menentang  penyandang jawatan  Umno Bahagian Kemaman pada pemilihan 30 Jun ini.

Penyandang ketua bahagian, Datuk Seri Ahmad Said akan mempertahankan jawatan manakala timbalannya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menarik diri. Maka jawatan timbalan ketua bahagian dijangka ditandingi naib ketua sekarang, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid. Manakala jawatan naib ketua ditandingi Ahmad Fikri Ibrahim yang merupakan ketua pemuda Umno Bahagian Kemaman sekarang.

Bagi "Kemaman Berubah", Mat Dalam yang pernah menentang Ahmad Said pada pemilihan Umno 2013 akan bertemu buat pusingan kedua minggu depan. Rakit itu menonjolkan bekas ADUN Air Putih, Haji Wan Hakim Wan Mokhtar untuk jawatan timbalan ketua bahagian manakala bekas ahli jawatankuasa bahagian, Ahmad Mizani Mohd bertanding jawatan naib ketua bahagian mewakili rakit tersebut.

Bagi sayap wanita, Norzamziah Afzainizam akan menentang ketua wanita, Datuk Rohani Abdullah dan bagi sayap pemuda, Mohd Zammil Mohd Zuslaini menawarkan diri bagi jawatan ketua pemuda. Bekas ADUN Chukai, Datuk Mohamad Awang Tera menawarkan diri untuk jawatan Pengerusi Tetap Umno Bahagian.

Mat Dalam ketika ditemui berkata BN sudah kalah di Terengganu pada PRU lalu  maka Umno Bahagian Kemaman perlu pembaharuan dari semua peringkat.

"Oleh kerana orang lain tidak sanggup memikul tugas ini, maka sekali lagi saya mengetuai rakit ini. Bezanya dahulu saya bersendirian tapi kali ini kami berakit bagi semua jawatan termasuk 20 orang ahli jawatankuasa bahagian," katanya.

Haji Wan Hakim dikatakan bersetuju menyertai "Kemaman Berubah" kerana dalam pertandingan mereka perlu bersatu untuk dapatkan sokongan semua perwakilan. Beliau tewas dalam pertandingan naib ketua bahagian pada tahun 2013 kerana bergerak sendiri.

Bagi Ahmad Mizani Mohd, pengalaman selama lima penggal sebagai ahli jawatankuasa bahagian mendorong beliau menyertai "Kemaman Berubah"  untuk jawatan naib ketua bahagian.

"Ahmad Said selaku ketua bahagian gagal mempertahankan DUN Chukai pada PRU 2013 tetapi PRU kali ini  beliau gagal mengekalkan tiga DUN Chukai, Air Putih dan Kemasik, maka perwakilan perlu mengundi "Rakit Pembaharuan" untuk memulihkan kembali tenaga Umno Bahagian Kemaman," katanya.

Calon Ketua Wanita bagi "Kemaman Berubah", Norzamziah Afzainizam. 45, menyeru perwakilan wanita berani membuat perubahan pada pemilihan 23 Jun ini. Beliau akan menentang penyandang ketua wanita, Datuk Rohani Abdullah yang sudah empat penggal memipin pergerakan wanita Umno Kemaman.

"Sudah sampai masanya bagi perwakilan wanita membuat perubahan," katanya yang pernah menjadi ahli jawatankuasa puteri Umno Bahagian Kemaman bagi penggal 2008-2013.

Calon Ketua Puteri Bahagian, Tuan Noraishah Tuan Puteh,35, yakin untuk membawa puteri Kemaman ke arah yang lebih baik. Beliau yang juga ketua puteri cawangan Kg Tuan Injin Gergaji rasa bertanggungjawab untuk pikul tugas sebagai ketua puteri.






No comments:

Post a Comment