Monday, June 4, 2018

HUBUNGAN TERENGGANU DAN KERAJAAN PUSAT AKAN DIPERKUKUHKAN

DUNGUN, 4 Jun (Bernama) -- Hubungan antara kerajaan negeri Terengganu pimpinan PAS dan kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH) akan diperkasakan dan diperkukuhkan demi membawa masa depan yang lebih baik untuk rakyat negeri ini.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sekarang bukanlah masa untuk mengungkit kisah politik kedua-dua pihak sebaliknya menumpu kepada usaha untuk mencapai matlamat ke arah pembinaan negeri dan negara yang lebih baik pada masa akan datang.

Sehubungan itu, katanya, beliau berasa amat berbesar hati kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir sudi menerima kunjungannya dan Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang serta Pengerusi Badan Penasihat PAS Datuk Mustafa Ali di pejabat beliau di Perdana Putra hari ini.

"Pertemuan pagi tadi adalah pertemuan tidak rasmi dan kunjungan itu tidak ada agenda khusus...apa pun kami amat berbesar hati di atas penerimaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kunjungan itu.

"Yang pentingnya ialah keperluan untuk perkasakan, perkukuhkan hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Alhamdulillah, Tun (Dr Mahathir) juga beri respon yang sangat positif dalam perkara itu," katanya kepada pemberita pada majlis kesyukuran dan berbuka puasa di Masjid Hadhari, Paka di sini, hari ini.

No comments:

Post a Comment