Wednesday, June 13, 2018

KEPUTUSAN GPS PERLU DIHORMATI

ALOR SETAR, 12 Jun ( Bernama) -- Keputusan empat parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sarawak untuk meninggalkan gabungan berkenaan bagi membentuk pakatan baharu dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu dihormati.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata anggota UMNO serta BN tidak perlu bersedih kerana masih ramai anggota yang tetap setia bersama gabungan berkenaan.

"Atas sifat sebuah negeri yang besar dan tentunya nak dominasi politik sendiri kita hormati mereka. Apa yang penting bagi kita ialah kita perlu terus maju dengan parti kita dan mereka dengan blok baharu mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Badan Perhubungan UMNO Kedah bersama kepimpinan UMNO bahagian seluruh negeri di sini hari ini.

Pengerusi BN Sarawak yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebulat suara keluar daripada BN dan akan mewujudkan GPS.

Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata keputusan itu diambil susulan pertimbangan dan penilaian perkembangan politik semasa dalam negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

No comments:

Post a Comment