Friday, June 22, 2018

"KEMAMAN BERUBAH" MEMPUNYAI AGENDA BESAR






KEMAMAN: Kumpulan "Kemaman Berubah" mempunyai agenda yang besar jika ia menang pada pemilihan bahagian pada 30 Jun ini.

Menurut bekas ADUN Chukai, Datuk Mohamad Awang Tera, para perwakilan Kemaman mesti memberi sokongan yang penuh kepada semua calon "Kemaman Berubah" jika mahu melihat BN menang semula pada PRU akan datang.

"Saya percaya "Kemaman Berubah" mampu mengangkat kembali martabat Umno Bahagian Kemaman," katanya ketika berucap di majlis sambutan hari raya "Kemaman Berubah" di sebuah hotel di Cherating malam tadi.

Beliau yang juga calon Pengerusi Tetap Umno Bahagian menyeru para perwakilan mengundi calon Ketua Bahagian, Mat Dalam Awang; calon naib ketua, Ahmad Mizani Mohd dan semua calon ahli jawatankuasa bahagian serta calon Timbalan Pengerusi Tetap, Sazali Idris.

Beliau percaya jika kumpulan penyandang yang diketuai ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said menang lagi dalam pemilihan minggu depan, Umno Kemaman tidak akan berubah.

"Pada tahun 2008, kita menang empat kerusi DUN. Pada tahun 2013, kita kalah satu kerusi DUN tetapi pada PRU 2018, kita kalah tiga DUN. Tidak mustahil BN kalah empat DUN pada PRU akan datang jika para perwakilan tidak berani menukar barisan kepimpinan Umno Bahagian," tegasnya.

Dalam pada itu beliau berseloroh kepada para perwakilan supaya jangan lupa undi beliau untuk jawatan Pengerusi Tetap Umno Bahagian.

No comments:

Post a Comment