Friday, June 8, 2018
PILIH PRESIDEN YANG BOLEH PULIHKAN UMNO
KUALA LUMPUR: Presiden baru Umno mesti berupaya memastikan parti itu dapat berdiri megah dan mampu berdepan dengan Pakatan Harapan, kata ahli Majlis Tertinggi parti itu, Datuk Bung Moktar Radin menjelang pemilihan parti 30 Jun ini.
"Kita memerlukan seorang presiden yang boleh berjuang untuk rakyat dan mendengar suara rakyat dan bukannya 'syok sendiri'," katanya.
Katanya, presiden baru (dan pasukannya) mesti mempunyai wawasan untuk membawa Umno keluar dari 'situasi kalah'.
Menurutnya lagi presiden baru dan pasukannya hendaklah memastikan Umno terus relevan dan diterima secara meluas oleh rakyat, serta merintis jalan bagi parti itu dan BN menghadapi pilihan raya umum ke-15, yang akan tiba pada 2023.
Setakat ini, bekas timbalan perdana menteri dan pemangku timbalan presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan penganalisis politik Rahmat Azim Abdul Aziz telah mengumumkan untuk bertanding jawatan tertinggi parti itu.
Calon berpotensi lain untuk jawatan presiden Umno termasuk veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.
Sambil mengakui bahawa Zahid mempunyai kualiti untuk menerajui parti itu, Bung Moktar berkata beliau dan bahagian Kinabatangan dan akar umbi perlu mengkaji senarai calon.
"Ia terlalu awal untuk membuat keputusan, kami tidak mahu menyesal kemudian kerana kita tidak mampu membuat kesilapan," katanya sambil menambah bahawa Umno mesti diterajui oleh seseorang yang boleh membuat parti berdiri megah dan mampu berdepan dengan parti lain.
Bagi dirinya, Bung Moktar berkata beliau akan mempertahankan jawatan ketua bahagian Kinabatangan serta jawatannya dalam MT.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment