KEMAMAN: Calon ketua pemuda Umno Bahagian Kemaman yang tewas kelmarin, Mohd Zammil Zuslaini menerima keputusan pemilihan tersebut dengan redha.
Katanya, namun demikian dalam proses pemilihan tersebut masih berlaku unsur unsur yang tidak telus.
"Keadaan di mana individu yang tak sepatutnya berada di dalam bilik undi untuk mempengaruhi perwakilan dan membuat edaran senarai cai di dalam bilik undi antara perkara yang sepatutnya dielakkan," katanya.
Beliau yang mendapat 48 undi dikalahkan Hashim Ali yang mendapat 160 undi berkata urusetia Umno Bahagian tidak profesional di dalam menguruskan proses pengundian tersebut.
"Pengundian dibuat di tempat terbuka sehingga tiada privasi kepada para perwakilan," katanya lagi.
Katanya lagi, beliau sedih apabila beliau menrungut tentang perkara ini, pihak beliau dilabel dengan pelbagai gelaran seperti team cuba nasib, team banyak modal dan team yang dibayar untuk bertanding.
"Saya agak terkilan kerana inilah penyakit ahli Umno yang tak pernah nak berubah," dakwanya lagi.
Katanya, laungan perubahan itu hanyalah modal meniaga yang paling laku ketika ini.
"Tapi apakah perubahan itu benar-benar berlaku?" soal beliau.
Mohd Zuslaini berkata dalam keadaan kita ingin menagih kembali kepercayaan ahli akar umbi, kita masih terpalit dengan sikap sebegini.
"Ini ternyata suatu penghinaan kepada demokrasi yang sepatutnya wujud dalam Umno," tambahnya lagi.
Tegasnya, keterbukaan dalam pertandingan semua jawatan hanyalah lakonan semata-mata.
"Kita ahli Umno seperti harus menerima bahawa jawatan ini hanya patut diwarisi dan diperkenan oleh penyandang sahaja," katanya.
Beliau berkata kalau mahu lawan, bersedia untuk dihina, dicaci dan dikutuk apabila anda kalah.
"Sampai bila Umno akan menjadi satu parti yang kukuh kalau perkara sebegini tidak diubah. Setiap kali pemilihan, kita kena menerima realiti yang kita akan berpecah belah," ujarnya.
Beliau berharap cacat cela yang berlaku pada pemilihan sayap dapat diperbaiki pada pengundianabtu depan kerana pemilihan kali ini amat penting untuk survival Umno untuk tiga tahun akan datang.
"Jika tidak diubah pada hari ini, jangan berangan untuk merampas kembali negeri Terengganu dan negara kita," tegasnya lagi.
No comments:
Post a Comment