Wednesday, February 14, 2018

USAHAWAN MAKANAN SEJUK BEKU HARGAI BANTUAN KERAJAAN

DUNGUN, 13 Feb (Bernama) -- Maz Frozen Food, syarikat pengeluar makanan sejuk beku yang beroperasi di pusat inkubator industri desa di Pulau Serai, Dungun, menghargai bantuan dan bimbingan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan terhadap perniagaan itu sejak mula beroperasi lebih setahun lepas.

Pemiliknya, Saiful Nizam Mazuki berkata bantuan geran daripada SME Corporation Malaysia (SME Corp) Terengganu berjumlah RM190,000 yang diterima pada Ogos tahun lalu, berjaya meningkatkan kualiti dan kuantiti makanan sejuk beku (karipap dan kuih ropa) keluaran syarikat berkenaan.

"Sebelum ini, kami hanya mampu menghasilkan 1,000 karipap setiap hari, namun setelah menggunakan mesin sumbangan SME Corp, jumlah itu dapat ditingkatkan kepada 5,000 karipap setiap hari dan kapasiti maksimum menggunakan pengeluaran mesin tersebut ialah 10,000.

"Purata jualan bulanan dua produk sejuk beku kami pada tahun lepas adalah antara RM20,000 dan RM25,000. Kami sasarkan jumlah itu meningkat sedikit pada tahun ini berikutan penggunaan mesin berteknologi canggih ini dapat meningkatkan jumlah pengeluaran," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima lawatan daripada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Ahmad Maslan diiringi Pengarah SME Corp Terengganu, Muhammad Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Rozali Salleh.

Lawatan kerja itu bertujuan meninjau perkembangan usahawan muda di Terengganu serta bantuan perniagaan yang disalurkan agensi-agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) setakat ini.

Pada masa ini, produk makanan sejuk beku keluaran kilangnya menembusi pasaran di beberapa pasar raya sekitar Terengganu dan menggunakan sistem pengedaran ejen.

Mengimbas kembali penglibatannya dalam perniagaan itu, Saiful Nizam berkata beliau hanya membantu ibunya membuat pelbagai jenis kuih untuk jualan secara sambilan apabila mempunyai masa terluang ketika berada di rumah.

"Sebelum itu, saya buat macam-macam kerja untuk menambah pendapatan dengan kerja terakhir saya dalam bidang petroleum dan gas, namun berhenti kerja untuk membantu ibu saya yang tidak menang tangan mengambil tempahan kuih-muih.

"Sejak itu, saya mula serius mempelajari selok-belok perniagaan dengan mengikuti pelbagai kursus kemahiran daripada jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan keusahawanan," katanya.

Memulakan operasi pengeluaran makanan sejuk beku di kilang inkubator itu juga bukanlah suatu perkara mudah kerana Saiful Nizam perlu memulakan perniagaan menggunakan modal diberikan keluarganya sebanyak RM100,000.

"Selepas perniagaan mula menunjukkan rekod cemerlang, saya mula memohon geran daripada SME Corp Terengganu serta serius memohon status halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kini dalam proses memohon skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan.

"Saya juga berterima kasih kepada YPU yang sentiasa mempelawa usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) seperti saya menyertai pelbagai program dan ekspo jualan yang diadakan di pelbagai lokasi selama ini.

"Kejayaan kecil syarikat kami ini diharap dapat mendorong lebih ramai golongan belia di luar sana turut menjadikan keusahawanan sebagai sumber pendapatan mereka selaras dengan hasrat kerajaan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment