Friday, February 2, 2018

PEMBANGKANG MAHU BERI GAMBARAN BURUK TERHADAP SPR

BERA, 2 Feb (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan gesaan pakatan pembangkang agar badan asing dipanggil bagi memantau perjalanan pilihan raya umum (PRU) ke-14 bertujuan memberi gambaran buruk terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya mereka mahu menunjukkan bahawa SPR tidak mampu mengendalikan perjalanan PRU kali ini walaupun selama ini agensi tersebut menguruskan pilihan raya tanpa sebarang masalah.

"Cadangan itu tidak lain semata-mata untuk menunjukkan bahawa SPR tidak boleh dipercayai sebagai sebuah badan bebas, telus dan berkecuali. Tetapi jika benar SPR tidak berlaku adil, mengapakah pembangkang berjaya menguasai Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor," katanya hari ini.

Beliau ditemui pemberita pada program Moh Ngeteh bersama kira kira 500 warga Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Majlis Daerah Bera dan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah di sini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut menyifatkan gesaan pembangkang tersebut sebagai usaha membawa masuk campur tangan asing dalam pentadbiran negara ini.

No comments:

Post a Comment