Saturday, February 10, 2018

PEMBANGKANG SABAH BUKAN MAHU BELA RAKYAT

KINABATANGAN, 10 Feb (Bernama) -- Parti pembangkang di Sabah berjuang dengan berpaksikan emosi dan bukannya untuk membela hak rakyat negeri ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

"Pemimpin parti pembangkang di negeri ini hanya mengamalkan emosi... tidak (dipilih) jadi calon dan tidak dilayan (seperti diinginkan) bertindak keluar parti.

"Mereka tidak memahami perjuangan rakyat Sabah, bagaimana untuk mereka memperjuangkan hak-hak Sabah daripada kerajaan pusat," katanya.

Salleh yang juga bendahari UMNO berkata demikian ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut di Dataran Terbuka Tongod dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Banah.

Salleh berkata berbanding pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri ini telah terbukti mampu menyuarakan hak rakyat Sabah kepada kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya Najib juga menghormati dan telah menunjukkan komitmen dalam memberi perhatian terhadap hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau berkata Najib juga telah memberikan komitmen bahawa kalau ada hak Sabah yang terambil secara tidak sengaja oleh pihak kerajaan persekutuan akan dikembalikan kepada negeri itu.

Dalam pada itu, Salleh berkata penting untuk mengekalkan kerajaan BN sedia ada yang mampu menentukan kesinambungan kestabilan negara, menyediakan peluang ekonomi kepada rakyat dan perancangan masa depan.

Katanya tiga faktor itu penting bagi memastikan keamanan negara, keharmonian rakyat dan ekonomi serta dalam melaksanakan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment