Wednesday, February 7, 2018

RAHMAN DAHLAN SANGKAL KENYATAAN MYDIN

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Jualan pasar raya besar tidak boleh dilihat sebagai satu-satunya penanda aras bagi prestasi jualan runcit dan seterusnya memaparkan keadaan ekonomi Malaysia serta rakyatnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau turut mempertahankan kenyataannya itu dengan data Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan bahagian jualan pasar raya besar hanyalah sebanyak 8.0 peratus.

Kenyataannya itu sebagai menyangkal dakwaan Pengarah Urusan rangkaian pasaraya dan emporium Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin bahawa rakyat negara ini tidak mempunyai wang mencukupi bagi perbelanjaan barangan keperluan biarpun Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

"Perdagangan runcit di Malaysia telah mencatat pertumbuhan kukuh baik dari segi nilai mahu pun jumlahnya," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dari segi nilai, perdagangan runcit merekodkan pertumbuhan dua angka untuk tiga suku berturut-turut pada 2017 manakala dari segi jumlah, ia meningkat masing-masing kepada 7.8 peratus, 11.5 peratus dan 10.4 peratus bagi suku pertama, kedua dan ketiga 2017.

No comments:

Post a Comment