MARANG, 20 Feb (Bernama) -- UMNO Terengganu yakin Barisan Nasional (BN) dapat memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU 14) dengan majoriti dua pertiga berdasarkan beberapa faktor termasuk kesiapsiagaan yang telah dilakukan oleh jentera parti di negeri itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata keyakinan itu juga bersandarkan kepada beberapa kajian terperinci yang dilakukan pelajar universiti terhadap pengundi di negeri ini.
"Dalam PRU tahun 2004, kita dapat menang 28 kerusi berbanding pembangkang (empat kerusi) sedangkan sebelum itu kita hanya menang empat kerusi sahaja pada PRU tahun 1999.
"Kita berkeyakinan penuh dalam PRU14 ini akan berpihak kepada kita dan kita sasar akan dapat lebih daripada dua pertiga majoriti...sekarang kita menang (menguasai) 17 kerusi, tidak mustahil akan menang kesemua 32 kerusi pada PRU14 nanti," katanya.
Menteri Besar Terengganu itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Pemantapan dan Pengukuhan (2P) Wanita UMNO Terengganu di sini hari ini.
Seramai 580 wakil Wanita UMNO Terengganu dari lapan bahagian hadir ke program itu yang bertujuan memberi penerangan dan kefahaman tentang isu-isu semasa untuk menangkis tohmahan pembangkang.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment