Sunday, February 18, 2018
CIKGU KAMAL SHAH DALAM KENANGAN
Semalam jam 7.36 pagi saya menerima berita kematian dua pupu saya Cikgu Mohd Kamal Mohd Shah, 57 tahun, dari adiknya yang bekerja di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Mohd Radzi. Sepatutnya saya bertolak ke Kuala Lumpur pada jam 8 pagi tapi saya tangguhkannya kerana arwah amat rapat dengan saya sejak kecil.
Saya ajak kawan Radzi, Mus Kamal, ahli grup whatsapp Sahabat Serumpun pergi ke rumah arwah di Gong Pak Jin, Kuala Nerus. Arwah pun ahli Sahabat Serumpun yang mana saya adminnya. Saya sempat melihat wajah arwah Kamal buat kali terakhir. Tapi saya tak dapat menunggu majlis pengkebumiannya selepas solat zohor kerana saya mahu terus balik ke Kuala Lumpur.
Arwah rapat dengan saya kerana kami berkawan sejak kecil. Apatah lagi ketika itu saya duduk di Banggol Peradong manakala Kamal duduk di Paloh, Kuala Terengganu yang menyebabkan saya selalu pergi ke rumahnya.
Apabila bapa sepupu Cikgu Mohd Shah ditukarkan ke Dungun, saya turut pergi ke Dungun menemui Cikgu Kamal yang melayani saya. Beza umur kami dua tahun. Tak sangka pula arwah yang pergi terlebih dahulu daripada saya.
Kami amat rapat dari kecil. Pada tahun 1976 ketika menunggu keputusan MCE, pernah kami naik bas dari Paloh ke Mengabang Telipot rumah nenek arwah. Dalam bas kami berbual panjang dan kami tak sedar bas akhir itu terus balik ke Kuala Terengganu tanpa berhenti di Mengabang Telipot. Kami turun semula di Paloh sambil ketawa.
Banyak kenangan manis saya bersama arwah. Beliau adalah guru sains dan matematik di Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail Dungun. Bila ke Dungun saya tidur di rumah bujangnya di kuarters guru. Wartawan terkenal Ayob Mamat pernah belajar di sekolah tersebut dan Cikgu Kamal pernah mengajarnya.
Pada tahun 1990an beliau minta tolong saya adjust nak sambung belajar di UMS Kota Kinabalu. Saya temui Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Aziz Shamsuddin melalui Datuk Zaharin Mohd Yassin maka arwah dan isteri Cikgu Zawiah dapat belajar di UMS sehingga dapat Master dalam bidang Teknologi Maklumat (IT). Lama juga arwah dan keluarga duduk di Kota Kinabalu.
Selepas mengajar di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, arwah tukar kariernya bekerja di Yayasan Terengganu sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir semalam. Masa itu Datin Haslina isteri bekas pegawai kanan SPRM, Datuk Bahari mohon anaknya masuk Sekolah Imtiaz. Saya minta arwah uruskan sehingga anak Datin Haslina berjaya belajar di Imtiaz Kemaman.
Tiga tahun lepas arwah menyuarakan kepada saya sudah jemu bekerja di Yayasan Terengganu. Saya dengan arwah Abdullah Farmasi dalam proses buka kilang cat di Bangi sedang menunggu funder Azlan yang sedang menunggu komisennya dari FELDA. Saya senaraikan arwah sebagai bakal CEO kilang cat Eptex.
Tapi manusia cuma merancang, Allah yang menentukan. Azlan sudah bersedia kongsi bisnes tersebut dengan Abdullah tiba tiba Abdullah sebagai pencipta formula cat itu meninggal. Impian arwah Kamal untuk jadi CEO kilang tersebut terbantut.
Sabtu lepas kami merancang untuk pergi ke Pasir Akar, Besut majlis perkahwinan anak saudara Datuk Seri Rahim Husin tapi arwah Kamal kata dia sesak nafas maka kami tak jadi pergi ke Besut. Emak isteri arwah Cikgu Zawiah iaitu Che Da Aishah berjiran dengan emak Datuk Seri Rahim.
Pada malam tersebut arwah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dan arwah meninggal pada pagi semalam tepat jam 6.45 pagi. Kali terakhir saya menemui arwah di rumahnya di Gong Pak Jin pada petang 8 Februari lalu. Kebetulan saya ada miting di Kuala Terengganu. Arwah baru keluar dari Hospital kerana diserang jantung buat kali kedua.
Arwah baru menerima cucu kedua bulan lepas dan dua orang cucunya tak sempat mengenali datuknya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
AL-FATIHAH BUAT GURU KU YANG DISAYANGI..SMASID 1988 SAINS KELAS 3A4
ReplyDelete