KUALA NERUS, 1 Feb (Bernama) -- Projek pembinaan dan naik taraf jalan pantai menghubungkan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC) ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud dengan kos RM60 juta tidak melibatkan tanah penduduk, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.
Beliau berkata laluan asal yang terkena tanah penduduk telah dialih ke laluan baharu di pesisir pantai.
"Projek jalan itu nanti tidak akan melibatkan pengambilan tanah penduduk kerana sebahagiannya dibina di atas kawasan pantai yang ditambak...benteng-benteng akan dibina bagi melindungi laluan ini daripada hakisan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah jalan pantai yang menghubungkan KTCC dan LTSM di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Datuk Seri Jebasingam Issace John.
Katanya projek biayaan kerajaan persekutuan sepanjang 6.8km membabitkan dua pakej itu akan diperindahkan dengan landskap yang pasti memberi lebih banyak manfaat kepada penduduk terutamanya dari segi pelancongan.
Ahmad Razif berkata pakej pertama membabitkan laluan sepanjang 3.8 km dari Jalan Ketapang Pantai sehingga ke Muara Utara di KTCC dijangka siap sepenuhnya pada Ogos tahun ini manakala fasa kedua sepanjang tiga kilometer laluan baharu yang kini dalam proses reka bentuk dijangka siap pada April 2019.
KTCC adalah antara projek infra rakyat yang dilaksanakan kerajaan persekutuan melalui ECERDC dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu untuk melonjakkan lagi sektor ekonomi di negeri itu.
Sementara itu, Jebasingam dalam ucapannya berkata apabila siap kelak, jalan baharu ini dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar Kuala Terengganu dan memendekkan tempoh perjalanan dari pusat bandar ke LTSM kepada hanya 15 minit berbanding 25 minit ketika ini.
"KTCC telah berjaya menarik lebih RM4.5 bilion pelaburan swasta bagi projek pembangunan bercampur yang merangkumi sebuah hotel, pangsapuri, kompleks beli-belah dan taman tema di kawasan seluas 30.7 ekar (12.28 hektar) .
"Kerja-kerja pembinaan bagi keseluruhan projek dijangka siap menjelang tahun 2024 dan lebih 5,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan untuk penduduk tempatan," katanya dan menurutnya kemasukan pelaburan swasta yang semakin meningkat telah memberi banyak manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata bersempena sambutan ulang tahun ke-10 ECERDC pada tahun ini, pihaknya akan melancarkan Pelan Induk ECER 2.0 yang menggariskan strategi utama untuk melonjakkan lagi pertumbuhan sektor ekonomi di Terengganu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment