Saturday, February 10, 2018

TERENGGANU AKAN PASARKAN PRODUK IBU TUNGGAL PADA TMM2020

KUALA NERUS, 10 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri mahu golongan ibu tunggal di Terengganu menghasilkan pelbagai produk jahitan yang boleh dipasarkan untuk jualan dalam dan luar negara bagi meningkatkan tahap sosioekonomi mereka.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata usaha itu akan diselaras oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) memandangkan bidang jahitan berpotensi tinggi dalam menawarkan pendapatan lumayan kepada golongan tersebut.

"Mungkin boleh buka sebuah kilang untuk menghasilkan produk jahitan dan ia akan dipasarkan dengan jenama khas yang mewakili golongan ibu tunggal di Terengganu melalui persatuan di setiap daerah."

"Ia juga akan dijadikan produk tarikan pelancong untuk Tahun Melawat Malaysia 2020, yang mana Terengganu akan mempromosikan produk keluaran ibu tunggal sebagai antara produk istimewa kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian bangunan baharu untuk ibu tunggal di Parlimen Kuala Nerus di sini hari ini.

Turut hadir isteri Menteri Besar Toh Puan Seri Halina Zakaria, Pengarah YPKT Mohd Shafaruddin Mustaffa, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Tunggal Tuan Arif Sahibu Fadillah Tuan Ahmad dan wakil Kelab Ibu Tunggal Kuala Nerus Ajizah Othman

No comments:

Post a Comment