Saturday, February 24, 2018

CALON TEMPATAN PENENTU KEMENANGAN CALON BN

TEMERLOH, 24 Feb (Bernama) --'Keakraban 'childhood friends' atau rakan sejak kecil yang terjalin antara calon bertanding dan penduduk setempat menjadi kekuatan UMNO untuk merampas semula Parlimen Temerloh dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin selaku ketua Bahagian UMNO Temerloh berkata calon anak setempat merupakan faktor penentu kemenangan, selepas rakyat serik berhadapan wakil rakyat luar selama lima tahun.

"Pengundi mahukan anak tempatan... mereka yang boleh ditemui pada bila-bila masa, atau jika tidak sekalipun, ada kaum keluarga dan rumahnya di Temerloh yang boleh dituju jika ada perkara mendesak. Inilah peranan 'childhood friends'.

"Ramai sahabat saya yang lahir di Temerloh, sama-sama berenang di sungai, menangkap ikan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke luar tapi masih pulang ke Temerloh untuk berbakti kerana bagi kami inilah dunia kami," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Menurutnya penduduk sudah melalui waktu sukar hampir lima tahun dan bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika dikatakan masih ada penduduk di Temerloh tidak mengenali wakil rakyat mereka kerana beliau bukan penduduk setempat serta tidak kerap turun padang.

Mohd Sharkar berkata walaupun begitu, UMNO Bahagian Temerloh tidak mahu alpa dengan kekurangan pihak lawan sebaliknya terus melaksanakan tugas seperti bakal berhadapan dengan lawan yang kuat bagi mendapatkan kemenangan selesa.

Pada PRU13, Parlimen Temerloh dimenangi PAS menerusi Nasrudin Hassan manakala daripada tiga kerusi DUN, hanya satu sahaja diperoleh Barisan Nasional (BN) iaitu Lanchang menerusi Mohd Sharkar. DUN Mentakab dimenangi Tengku Zulpuri Shah Raja Puri daripada DAP dan Kuala Semantan dipegang Syed Hamid Syed Mohamed yang merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Pahang yang kemudiannya menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) pada 9 Sept 2015.

Mohd Sharkar berkata perjalanan untuk memastikan kemenangan 4-0 di P088 sebenarnya telah lama dilakukan, bagi memastikan 'berita duka' pada 2013 tidak berulang.

Katanya, jika dihitung permulaan baharu UMNO Temerloh bermula pada pemilihan parti 2013 yang menyaksikan perubahan besar kepimpinan parti termasuk kekalahan bekas timbalannya Datuk Saifuddin Abdullah yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen itu.

"Selepas itu kami wujudkan tiga penyelaras untuk kawasan yang tewas lalu iaitu Mentakab di bawah Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus (naib ketua), Semantan (Datuk Nor Azmi Mat Ludin, timbalan ketua) manakala saya menjaga Lanchang dan Temerloh secara keseluruhannya," katanya.

Katanya, pelbagai program kebajikan dilaksanakan meliputi pembangunan selepas bencana seperti kebakaran, ribut dan banjir, pendidikan serta keagamaan tanpa meminggirkan sesuatu kaum atau agama, dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sebagai contoh, Mohd Sharkar yang juga pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang merujuk kepada pembinaan semula rumah mangsa ribut dan kebakaran yang dilakukan tanpa pemilik rumah mengeluarkan belanja bagi meringankan beban mereka.

UMNO Bahagian Temerloh juga menurutnya sentiasa mengadakan program pendidikan supaya golongan muda menyedari hanya pendidikan yang dapat mengubah nasib keluarga dan membolehkan 'mereka terbang lebih tinggi' walaupun berasal dari kampung.

Berhubung dengan ura-ura bakal berlaku pertembungan tiga penjuru di Temerloh - dengan PAS dan Amanah menunjukkan minat - yang dikatakan bakal memberi kelebihan kepada BN, katanya perkara itu tidak menjadikan UMNO membuat kerja secara sambil lewa.

"Kita bekerja seolah-olah kita akan berhadapan dengan satu lawan satu. Tidak rugi bekerja kuat kerana akhirnya semuanya akan kembali kepada rakyat... kita tambat semula hati rakyat supaya mereka yakin dengan BN yang telah banyak melakukan pelbagai program untuk kesenangan rakyat.

"Malangnya disebabkan terpengaruh pada tahun 2013, berlaku perubahan dan apabila sudah tahu sikap sebenar wakil rakyat yang dipilih ketika itu, mahu atau tidak mereka perlu menunggu sehingga lima tahun untuk menukar semula," katanya.

Mohd Sharkar menambah pihaknya kini juga semakin agresif menggunakan media sosial untuk berhubung dengan pengundi, khususnya pengundi muda dan hasilnya sangat positif berdasarkan reaksi yang diterima.

Beliau juga berharap orang Temerloh akan menilai setiap baik buruk keputusan yang akan dilakukan pada PRU14 manakala orang UMNO sendiri perlu bersikap berlapang dada dengan nama yang 'diperkenankan' sebagai calon.

"Kita mengenal pasti 20 nama yang sesuai diketengahkan sebagai calon tapi kekosongan hanya empat. Sudah tentu ada pertimbangan sewajarnya (oleh pucuk pimpinan BN) dan jika tidak terpilih, sama-sama bekerja untuk menang. Ini untuk parti dan rakyat, bukan untuk kapasiti peribadi," katanya.

Apa pun, Mohd Sharkar mengakui bahawa janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terjun ke dalam kolam ikan di Kampung Chempaka, Lanchang semasa hadir majlis ramah mesra di situ baru-baru ini, menjadi pembakar semangat UMNO Temerloh untuk menang.

Najib pada majlis itu sebanyak dua kali menyatakan kesanggupan beliau untuk terjun ke dalam kolam estet ikan yang diusahakan penduduk jika BN berjaya menyapu bersih semua kerusi di P088.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment