Tuesday, February 27, 2018

"SEGALANYA WANITA" TEMA MAHA 2018

SERDANG, 27 Feb (Bernama) -- Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) yang akan diadakan pada November depan bakal mengetengahkan peranan wanita dalam sektor pertanian sebagai paksi pameran.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kementerian memutuskan 'Segalanya Wanita' sebagai tema penganjuran pameran dwitahunan berkaitan pertanian itu selaras dengan agenda kerajaan bahawa 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita.

"Sebahagian besar acara yang akan diadakan adalah berkaitan peranan wanita dalam dunia pertanian serta bagaimana perubahan dunia pertanian membawa wanita menjadi pemain penting dalam industri agromakanan," katanya pada sidang media selepas melancarkan semula MAEPS Bistro di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata beberapa ikon wanita akan ditampilkan bagi melonjakkan MAHA sebagai satu penganjuran lain daripada yang lain.

Beliau berkata semua acara yang sinonim dengan MAHA yang menjadi tarikan utama sebelum ini akan tetap diadakan seperti biasa.

No comments:

Post a Comment