Friday, May 31, 2019

TAKKAN 300,000 PENERIMA BSH TAK TAHU TULIS NOMBOR AKAUN?

PUTRAJAYA, 31 Mei (Bernama) -- Bantuan Sarah Hidup (BSH) 2019 fasa kedua tidak dapat dikreditkan ke dalam akaun bank kira-kira 300,000 penerima berikutan nombor akaun yang didaftarkan tidak tepat.

Kementerian Kewangan, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pembayaran untuk penerima berumur 59 tahun ke bawah adalah melalui akaun bank isteri, seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Namun demikian, sebilangan penerima BSH 2019 telah mendaftarkan nombor akaun bank suami dan ini mengagalkan pengkreditan akaun kerana nombor akaun tersebut bukan di bawah nama isteri," katanya.

Justeru, Kementerian Kewangan berkata bagi memastikan mereka menerima bayaran itu, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan mewujudkan akaun bank baharu secara automatik untuk penerima berkenaan.

"Pembayaran bagi golongan tersebut akan dikreditkan terus ke akaun berkenaan mulai 14 Jun 2019," menurut kenyataan itu.

Kementerian Kewangan berkata maklumat akaun bank baharu boleh diketahui melalui surat makluman yang akan dikeluarkan atau dengan melayari portal BSH https://bsh.hasil.gov.my.

Di samping itu,terdapat juga 300,000 penerima BSH 2019 dari kawasan pedalaman yang mempunyai akaun bank akan turut menerima pembayaran mulai 14 Jun, manakala mereka yang tiada akaun pula akan dibayar secara tunai mulai 1 Julai.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta e-mel kepada bsh@treasury.gov.my.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan hampir 3.6 juta penerima akan menerima bayaran fasa kedua dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.42 bilion.

-- BERNAMA

Thursday, May 30, 2019

REZEKI ANAK DAPAT TEMPAHAN 300 PASANG BAJU



KUALA TERENGGANU: LAZIMNYA setiap pelanggan hanya menempah dua hingga tiga pasang baju kurung seorang untuk menyambut Aidilfitri tetapi berbeza dengan seorang tukang jahit apabila menerima tempahan 30 pasang baju kurung daripada seorang pelanggannya.

Suhaida Mohd Saidi, 36, berkata, ia pengalaman pertama menerima tempahan 30 pasang baju kurung untuk seorang pemilik sepanjang 18 tahun bergelar tukang jahit.


“Jika difikirkan memang tidak masuk akal tetapi itu realiti yang berlaku bagi mereka yang berkemampuan dan sebagai tukang jahit, saya cuba memenuhi permintaan itu.


“Alhamdulillah, pelanggan itu membuat tempahan pada awal Ramadan dan hanya tinggal tujuh lagi pasang baju yang belum disiapkan,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Pak Katak di sini, semalam.

Menurut Suhaida yang hamil anak keempat, tempahan yang diterimanya pada tahun ini turut meningkat kepada lebih 300 pasang baju berbanding hanya 200 pasang baju tahun lalu dengan tempahan terbaru diterima pada 22 Mei lalu.

“Peningkatan tempahan menyebabkan waktu rehat tidak menentu kerana saya mahu memastikan tempahan yang diterima siap pada masa yang dijanjikan.

“Biasanya saya mula menjahit pada jam 8 pagi hingga 12 tengah malam dan pada 10 akhir Ramadan ini, ia dilanjutkan sehingga jam 3 pagi bagi menyiapkan semua tempahan,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang masalah biarpun sedang hamil tujuh bulan, sekali gus memudahkan dia menyiapkan tempahan.

“Walaupun berbadan dua, saya tetap mengambil tempahan daripada pelanggan kerana tidak mahu menghampakan pelanggan selain turut membantu tukang jahit lain menyiapkan tempahan yang tidak mampu disiapkan sebelum Aidilfitri.

“Biasanya baju kurung biasa hanya mengambil masa lima jam untuk disiapkan tetapi baju kurung berfesyen pula boleh memakan masa satu hari untuk disiapkan,” katanya yang dibantu ibunya, Kamas Mat Zin, 61.

Wednesday, May 29, 2019

BALIK RAYA ELAK JEM GUNA HELIKOPTER



GUA MUSANG - Lebih 20 buah helikopter disediakan bagi perkhidmatan, 'Balik Raya Elak Jem' di musim perayaan Aidilfitri ini.

Menurut pemilik syarikat pengurusan, Hazmi Dimasyq Group, Hazmi Hanipa, 31, perkhidmatan di musim perayaan ini adalah kali pertama diperkenalkan.

Katanya, sejak tiga tahun lalu, syarikatnya menyediakan perkhidmatan heli dan jet peribadi yang kebiasaannya menjadi pilihan ahli perniagaan.

"Ini merupakan tahun pertama untuk perkhidmatan sempena hari raya. Setakat ini, kita mendapat 11 permintaan yang mana paling tinggi adalah penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

"Penerbangan pertama bermula pada 3 Jun ini dan harga penerbangan ke Kelantan mencecah RM30,000 untuk sehala.

"Kita menyediakan lebih 20 buah helikopter untuk musim raya ini manakala penerbangan hari biasa melibatkan enam buah sahaja," katanya.

Menurut anak kelahiran Kampung Renok Baru, Gua Musang ini, dia tidak menyangka perkhidmatan ini mendapat permintaan tinggi terutamanya di kalangan ahli perniagaan.

"Untuk Kelantan sahaja, kita ada empat penerbangan setakat ini. Kita menyediakan dua jenis helikopter iaitu muatan tiga dan enam penumpang.

"Untuk penerbangan enam penumpang, harganya mencecah RM17,000 untuk satu jam dan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu memakan masa tiga jam.

"Alhamdulillah, melihat kepada permintaan, kita akan meneruskan perkhidmatan ini untuk musim-musim perayaan seterusnya," katanya.



TDM CATAT PENDAPATAN RM104.8 JUTA BERAKHIR 31 MAC 2019



KUALA TERENGGANU, 28 Mei (Bernama) -- Kumpulan TDM Berhad mencatatkan pendapatan sebanyak RM104.8 juta bagi suku pertama 2019 berakhir 31 Mac, 2019.

Jumlah tersebut bagaimanapun susut 10 peratus daripada RM115.8 juta yang dicatatkan pada suku yang sama 2018 berikutan penyusutan pengeluaran dan hasil jualan kelapa sawit lebih rendah di bahagian perladangan.

Pengerusi, Datuk Raja Idris Raja Kamaruddin berkata bagaimanapun prestasi itu diimbangi oleh peningkatan pendapatan sektor penjagaan kesihatan sebanyak 14 peratus.

“Bahagian penjagaan kesihatan menunjukkan prestasi kukuh dengan peningkatan pendapatan daripada RM51.1 juta pada suku pertama tahun lalu kepada RM58.1 juta bagi tempoh sama tahun ini.

“Ia disumbangkan oleh pertambahan bilangan pesakit dan pesakit luar di empat hospital pakar kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi memperkukuh pendapatan syarikat, Raja Idris berkata TDM akan mewujudkan pusat kecemerlangan di empat hospital selain memperkenal pelbagai perkhidmatan baharu.

Ia melibatkan perkhidmatan penjagaan mata di Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS), perkhidmatan endovaskular di TMDC Hospital Kuala Lumpur dan angioplasti di Kuantan Medical Centre (KMC).

Bagi tanaman kelapa sawit pula, syarikat sedang mempertimbang untuk mengalih tumpuan kepada perniagaan hiliran bagi mengurangkan kebergantungan kepada sektor perladangan komoditi yang sering mengalami ketidaktentuan harga.

“Pusat penapisan mini berskala kecil antara prospek yang sedang dipertimbangkan dan kajian berkaitan perkara itu sedang berjalan.

“Selain menambah pendapatan syarikat, kita juga menyasarkan supaya pusat penapisan ini dapat membantu pengusaha kelapa sawit dalam skala kecil kerana ketidaktentuan harga komoditi paling menjejaskan mereka,” katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, May 28, 2019

TOL, RUMAH MAMPU MILIK, HARGA BARANG TUMPUAN TAHUN KEDUA KERAJAAN PH



MACHANG 26 Mei - Tol, rumah mampu milik dan harga barang keperluan merupakan tiga perkara utama yang perlu diberi tumpuan kerajaan Pakatan Harapan pada tahun kedua pentadbirannya.



Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berkata, pada tahun pertama, kerajaan PH dilihat banyak tertumpu kepada usaha menangani masalah kewangan negara serta memulihkan agensi-agensi utama.


Sehubungan itu kata beliau, kerajaan kini perlu memberi lebih banyak perhatian kepada usaha menangani kos sara hidup yang membelenggu rakyat

“Pertama kerajaan kena fokus kepada mengawal harga barang.

“Kedua (kerajaan) perlu bina lebih banyak rumah mampu milik dan ketiga, turunkan harga tol, “ katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja ke Koperasi Keluarga Haji Zabir Kelantan Berhad (Koza) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKMM), Datuk Nordin Salleh.


Ditanya adakah PH patut mula fokus terhadap usaha mengotakan janji-janji yang pernah dibuat sebelum gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Daim menjawab ringkas: “Ini permulaan"

Saturday, May 25, 2019

TAK PAYAH JADI MENTERI KALAU RIMAS TENGOK KAWAN DATANG MINTA AP



PUTRAJAYA 23 Mei - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub memberitahu bahawa beliau berasa ‘cukup rimas’ dengan pihak-pihak tertentu termasuk ahli-ahli parti yang datang kepadanya untuk meminta pelbagai kemudahan seperti permit import (AP) dan tender-tender kementerian.



Beliau menegaskan, pihaknya bagaimanapun akan tetap meletakkan integriti di peringkat tertinggi selaras dengan falsafah kewujudan Pakatan Harapan (PH) iaitu dalam memastikan penjawat awam berada di tempat sewajarnya sambil dipandu oleh kepemimpinan politik yang tidak korup.


Ke arah itu kata beliau, pihaknya akan melihat prosedur paling tepat dan terbaik bagi memastikan semua AP dan tender-tender yang dikeluarkan menepati ciri-ciri indeks integriti sekali gus menjadikan kementerian contoh dalam soal ketelusan.

“Saya cukup rimas dengan kawan-kawan dan ahli-ahli parti yang datang meminta AP, meminta itu dan ini, tender-tender dalam kementerian. Itu ‘direngekkan’ ke dalam telinga menteri,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

Pada sidang akhbar selepas itu, Salahuddin menambah, amalan terdahulu yang ingin dihapuskan kementerian adalah rent-seeker iaitu pihak yang tidak memiliki kilang dan industri tetapi mendapat AP.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, kementerian mahu memberikan kemudahan seumpama itu kepada mereka yang benar-benar terlibat dalam industri.

“Itu yang kita akan buat. Saya dan timbalan menteri (Sim Tze Tzin), kita juga ada ahli parti dan penyokong. Kalau kita kena layan seperti ini, tiada bezalah kita dengan kerajaan dahulu. Jadi rakyat mahu melihat perubahan ini sebab itu kita akan pergi ke satu proses yang kita boleh beritahu rakyat tentang proses itu.

Tambahnya, ketika ini semua proses permohonan AP adalah melalui dalam talian, bermakna ianya terbuka kepada sesiapa sahaja yang layak tambahan pula permohonan itu akan disiasat oleh jawatankuasa teknikal.

“Ini kita buat dengan lebih telus supaya tidak berlaku ketirisan pada masa akan datang. Kita berusaha sebaik-baiknya,” katanya.


Sementara itu berhubung syarikat yang akan meneruskan matlamat syarikat National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFC) sebelum ini, Salahuddin berpendapat, jika syarikat itu boleh memenuhi terma dan syarat ditetapkan maka tiada masalah bagi kementerian untuk menjadi pemudahcara.

“Hanya satu syarikat sahaja yang tampil dan ia syarikat tempatan. Saya rasa selepas diselesaikan semua pinjaman Kementerian Kewangan, kita harus melihat terma rujukan agar semuanya kembali ke landasan dan kementerian akan membantu mereka,” katanya.

Thursday, May 23, 2019

LIM KIT SIANG CABAR NAJIB BERDEBAT TETAPI AKHIRNYA DIA LARI



KUALA LUMPUR 23 Mei - Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengumumkan menarik diri daripada berdebat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas alasan bimbang program itu akan bertukar menjadi konflik pertembungan kaum antara Melayu dan Cina.


LIM KIT SIANG


Katanya, sejak beliau mencabar Najib berdebat atas tajuk 'Bagaimana Malaysia menjadi sebuah negara kleptokrasi dan bagaimana kita menjadi negara berintegriti' yang kemudian disahut bekas Presiden UMNO itu, ramai yang menasihatinya tentang program yang mahu diadakan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menyatakan antara nasihat diterima beliau ialah penganjuran debat itu akan digunakan Najib untuk menaikkan semula popularitinya selain menjadi medan yang berisiko membangkitkan sentimen perkauman.

"Kemungkinan debat antara saya dan Najib ini boleh dimanipulasi menjadi satu konflik Melayu melawan Cina.

"Sedangkan perang melawan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan jenayah seperti pengubahan wang haram bukan satu isu perkauman atau keagamaan tetapi satu isu nilai murni dan pentadbiran yang baik. Saya memutuskan untuk tidak meneruskan debat dengan Najib,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam blognya, hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan pada Selasa lalu menyahut cabaran Kit Siang dan mencadangkan supaya program debat itu diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan disiarkan secara langsung.

Namun jelas Kit Siang, dalam tempoh 48 jam selepas kedua-dua mereka bersetuju untuk berdebat, beliau menerima pelbagai nasihat supaya tidak meneruskannya.

Kit Siang bagaimanapun cuba mempertahankan diri bahawa tindakan yang diambil beliau itu adalah demi kepentingan negara.


"Saya tahu keputusan ini akan disambut dengan tuduhan bahawa saya seorang pengecut. Namun kerjaya politik saya selama 53 tahun adalah terbuka untuk dinilai oleh rakyat sama ada saya seorang penakut atau tidak.

"Saya sentiasa bersedia untuk menerima penghakiman rakyat. Bagaimanapun, satu perkara yang saya tidak akan kompromi, iaitu kepentingan negara dan rakyat," katanya

Wednesday, May 22, 2019

LONGEST NON STOP AL QURAN RECITAL DI UMT

KUALA NERUS, 22 Mei (Bernama) -- Program Mengaji Tanpa Henti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencatat sejarah apabila dicatat dalam Malaysia Book Of Record (MBOR) sebagai “Longest Non-Stop Al-Quran Recital.”

Kejayaan itu tercapai selepas 500 peserta yang terdiri daripada mahasiswa, kanak-kanak, komuniti setempat, orang kelainan upaya (OKU), golongan mualaf serta penuntut antarabangsa berjaya melakukannya selama 123 jam tanpa henti dan lima kali khatam.

Naib Canselor UMT, Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata sepanjang tempoh tersebut, peserta terbabit telah bertadarus dan mentadabbur ayat-ayat suci Al-Quran 24 jam sehari secara bergilir-gilir.

“Program pada tahun ini sangat bermakna kerana ia genap 10 tahun penganjuran yang dimulakan pada 2009.

“Program ini cuba menerapkan budaya membaca Al-Quran sepanjang masa dan di mana-mana sahaja bukan sahaja di kalangan penuntut UMT malah komuniti luar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Sijil MBOR: Longest Non-Stop Al-Quran Recital di Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT di sini petang tadi.

Sijil tersebut disampaikan oleh Eksekutif Akaun MBOR, Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi kepada Nor Aieni.

Sementara itu, Nor Aieni berkata UMT telah mengagihkan sumbangan zakat kepada 403 asnaf UMT yang memerlukan pada bulan Ramadan tahun ini dimana ia diterima daripada Al-Islah Etiqa Takaful Berhad Etiqa Family bagi meringankan beban mahasiswa dalam membuat persiapan raya.

"Data UMT menunjukkan 80.2 peratus mahasiswa adalah terdiri daripada keluarga B40. Oleh itu kita amat mengalu-alukan sumbangan zakat daripada agensi korporat untuk membantu mahasiswa yang semakin terbeban dengan pelbagai kos pada masa ini," tambahnya.

-- BERNAMA

Sunday, May 19, 2019

BERSAHUR DI PANTAI BATU BURUK MAKIN POPULAR

KUALA TERENGGANU, 19 Mei (Bernama) -- Bersahur dengan ditemani deruan angin dan bunyi ombak di Pantai Batu Buruk menjadi trend masyarakat di sekitar Kuala Terengganu sejak lima tahun lepas.

Namun, kali ini ia lebih meriah apabila terdapat penambahan jumlah peniaga dan keunikan menu yang dijual menerusi ‘Car Food Sahur’ hingga berjaya menarik ribuan pengunjung setiap hari.

Berdasarkan tinjauan Bernama, kebanyakan pengunjung memilih bersahur di tepi pantai dengan hanya beralaskan tikar dan ada yang membawa meja kecil ‘ala Jepun’, ditemani kaum keluarga dan sahabat handai.

Lebih unik apabila peniaga di situ berpakaian santai dengan tema tradisional iaitu berkain batik dan berbaju kurung kedah bagi wanita manakala lelaki berpakaian kemeja T pagoda dan berkain pelikat.

Seorang peniaga, Muhd Afiq Mohd Noor, 25, berkata kehadiran pengunjung semakin meriah dengan anggaran peningkatan sebanyak dua kali ganda berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana pertambahan peniaga sehingga 30 orang berbanding hanya 25 orang pada tahun lepas.

"Saya telah berniaga di sini sejak tiga tahun lepas lagi dan pada tahun ini boleh dikatakan perniagaan saya agak laris di sini sehingga perlu menambah stok jualan sotong bakar setiap hari bagi menampung permintaan pelanggan yang datang bersahur.

"Alhamdulillah, dalam tempoh tiga jam, saya mampu menjual kira-kira 200 ekor sotong bakar gred A yang disiram bersama sos ala Thailand yang dijual dengan harga RM14 hingga RM20 seekor," katanya.

Peniaga makanan ala barat, Qairun Natasya Ramli, 19, pula berkata menjelang 12 tengah malam, keadaan di Pantai Batu Buruk akan mulai sesak apabila orang ramai mula memenuhi kawasan Car Food Sahur untuk menikmati juadah kegemaran mereka secara santai bersama kawan dan keluarga.

"Kami mula berniaga dari pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi. Apa yang menarik di sini ialah setiap peniaga 'diwajibkan' menjual satu jenis makanan khas di gerai mereka dan menu itu tidak boleh sama dengan gerai yang lain dan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengunjung,” katanya.

Seorang pengunjung, Hamim Umairah Abd Latif, 26, berkata beliau mengetahui kewujudan Car Food Sahur tersebut apabila ianya menjadi tular di laman sosial Facebook sejak minggu lalu.

Bagi Muhammad Azizi Abd Aziz, 23, pula, kewujudan Car Food Sahur ini memberikan lebih banyak pilihan kepada golongan muda sepertinya untuk menikmati juadah bersahur di samping merapatkan silaturahim bersama rakan-rakan dan anggota keluarga.

"Bagi perantau seperti saya, berada di Car Food Sahur dapat mengurangkan kerinduan suasana bersahur bersama keluarga yang berada jauh di kampung halaman di Tumpat, Kelantan,” katanya.

-- BERNAMA

Saturday, May 18, 2019

PARTI NEGARA AKAN TENTANG RASUAH

PUTRAJAYA, 17 Mei (Bernama) -- Sebuah parti yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara antirasuah yang dikenali sebagai Parti Negara hari ini menghantar permohonan pendaftaran kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) di sini.

Presiden penaja Parti Negara Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor ketika ditemui media selepas menghantar permohonan itu berkata beliau percaya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan di bawah kerajaan Pakatan Harapan akan meneliti permohonan parti itu dengan adil dan memberikan kelulusan.

Menurutnya, Parti Negara merupakan sebuah parti bebas dan berbilang kaum yang terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

"Pada masa ini tidak ada pihak yang lantang menentang rasuah. Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) parti pembangkang ketika itu agresif mendedahkan salah laku rasuah, namun kini pihak yang dulu membangkang sudah menjadi kerajaan dan sibuk.

"Sementara pembangkang hari ini lebih sibuk hal lain berbanding isu rasuah. Ini merupakan satu perkembangan yang tidak sihat," kata Mohamad Ezam, 52.

Katanya beliau menyokong komitmen Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menentang rasuah dan berharap Dr Mahathir boleh kekal untuk tempoh satu penggal atau sekurang-kurangnya tiga tahun demi memastikan usaha membanteras rasuah lebih efektif.

Sebelum PRU14, Mohamad Ezam pernah cuba mendaftar sebuah parti antirasuah yang dinamakan Parti Bebas Rasuah namun tidak diluluskan.

-- BERNAMA

Friday, May 17, 2019

25 KETUA PENAJA BAHAGIAN BERSATU SABAH TERIMA WATIKAH

KOTA KINABALU, 15 Mei (Bernama) -- Seramai 25 Ketua Penaja Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Sabah menerima watikah pelantikan dalam satu majlis di Putrajaya, semalam.

Watikah disampaikan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad, bersempena Majlis Iftar Bersatu peringkat Nasional.

Setiausaha Eksekutif Bersatu Sabah Datuk Armizan Mohd Ali dalam kenyataan di sini hari ini berkata watikah pelantikan itu dibuat selepas mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk penubuhan 25 bahagian Bersatu di Sabah yang diperoleh pada 3 Mei lepas.

Katanya surat kelulusan berkenaan telah disampaikan Menteri Dalam Negeri yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin kepada Ketua Penyelaras Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor pada 5 Mei lepas.

Susulan penerimaan watikah pelantikan itu, ketua penaja pimpinan bahagian akan bertanggungjawab untuk mengurus dan melengkapkan proses penubuhan bahagian, cawangan serta sayap Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di bahagian masing-masing, katanya.

Katanya ia juga membabitkan pembentukan struktur organisasi penaja dan menggerakkan proses pendaftaran serta penambahan ahli.

Berikut nama 25 ketua penaja pimpinan bahagian Bersatu di negeri ini terdiri Hajiji (Tuaran), Datuk Masidi Manjun (Ranau), Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Wetrom Bahanda (Kota Marudu), Datuk Japlin Akim (Kota Belud), Mohamed Razali Mohamed Razi (Sepanggar), Datuk Faisyal Yusof Hamdain Diego (Kota Kinabalu), Senator Datuk John Ambrose (Penampang) dan Datuk Seri Dr Arsit Sedi (Putatan).

Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar (Papar), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Kimanis), Datuk Isnin Aliasnih (Beaufort), Matbali Musah (Sipitang), Datuk Rubin Balang (Tenom), Azman Ruslan (Keningau), Senator Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Pensiangan), Datuk Awang Kadin Tang (Sandakan) dan Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran).

Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Aksyah Nasrah (Kinabatangan), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran), Mohd Daud Tampokong (Semporna), Abdul Hakim Gulam Hassan (Silam), Datuk Nizam Datuk Abu Bakar Titingan (Tawau) dan Abdul Karim Abdul Wahid (Kalabakan).

-- BERNAMA

Sunday, May 12, 2019

KADAR KEMISKINAN TERENGGANU TIDAK BERUBAH SEJAK TERIMA ROYALTI MINYAK?

KUALA TERENGGANU, 12 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata agenda pengukuhan ekonomi masyarakat desa adalah antara perkara yang dibincangkan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan di Putrajaya, Jumaat lepas.

Menyifatkan pertemuan selama satu jam tersebut adalah positif, Ahmad Samsuri berkata beliau mendapatkan pandangan Dr Mahathir mengenai langkah memperkukuhkan ekonomi masyarakat terutama yang tinggal di desa yang memerlukan satu lonjakan dalam tindakan kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Dengan mengambil kira kedudukan Terengganu yang menerima wang royalti petroleum sejak 1974, tetapi tidak banyak perubahan daripada segi pergerakan terhadap struktur masyarakat (terutama) daripada segi data kemiskinan, dan sebagainya. Yang mana ia tidak begitu pantas berbanding dengan apa yang sepatutnya, setelah Terengganu menerima wang tunai petroleum sejak sekian lama.

“Jadi, ini antara perkara yang saya bincangkan dengan perdana menteri untuk mendapatkan pandangan beliau yang berpengalaman luas dalam proses menaik taraf kehidupan masyarakat. Pandangan itu akan kerajaan (negeri) cuba perhalusi dan tengoklah apa yang boleh dilaksanakan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Pemeriksaan Draf Rancangan Struktur Negeri Terengganu (RSNT) 2050 (Kajian Semula), di Wisma Darul Iman di sini.

Terdahulu, melalui laman Facebooknya Ahmad Samsuri berkata antara isu yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut adalah hala tuju pelaburan pihak luar negara ke Terengganu, Rancangan Malaysia Ke-11, wang tunai royalti petroleum dan baki pinjaman oleh Kerajaan Persekutuan untuk projek Lebuhraya Pantai Timur 2.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata selain maklum balas rakyat, Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Pemeriksaan Draf (RSNT) 2050 (Kajian Semula) akan turut melibatkan pihak berkepentingan seperti pemilik Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

“Selain itu dasar-dasar dan falsafah kerajaan negeri melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) akan juga diambil kira dalam memastikan rancangan struktur bertepatan dengan apa yang diperlukan kerajaan negeri,” katanya.

Laporan pemeriksaan Draf RSNT2050 (Kajian Semula) itu dipamerkan bermula 1 Mei lepas hingga 2 Jun ini untuk semakan dan maklum balas semua pihak daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sebarang pandangan boleh diajukan kepada pihak PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) Negeri Terengganu dengan menyerahkan sendiri borang pandangan yang disediakan atau melalui pos.

Kajian RSNT 2050 (Kajian Semula) tersebut menggariskan pelbagai matlamat untuk pembangunan Terengganu antaranya memastikan perancangan yang lebih seimbang antara wilayah-wilayah di negeri ini.

-- BERNAMA

Friday, May 10, 2019

MB JUMPA PM DEMI RAKYAT TERENGGANU



KUALA TERENGGANU 10 Mei - Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini mengadakan perjumpaan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Menurut Ahmad Samsuri, pertemuan empat mata selama sejam itu membincangkan pelbagai perkara berkaitan kepentingan Terengganu.

Beliau menjelaskan, perkara yang dibincangkan itu antaranya hala tuju pelaburan luar dengan Terengganu selain projek di bawah Rolling Plan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) di bawah Teras V.

Begitu juga berkaitan isu wang tunai petroleum, baki pinjaman oleh pihak Kerajaan Persekutuan untuk projek Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), projek Khazanah di Terengganu dan pemerkasaan ekonomi penduduk tempatan.

“Hari ini, Jumaat 10 Mei 2019 bertemu mata dengan YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pertemuan santai selama satu jam ini adalah bagi mendapatkan panduan dan rayuan tentang beberapa perkara.

“Terima kasih atas panduan dan pandangan dari YAB Perdana Menteri. Semoga rayuan kami rakyat Terengganu diberi pertimbangan yang adil dan sewajarnya,” katanya dalam akaun instagram miliknya hari ini.

Thursday, May 9, 2019

PEGUAM NEGARA DERHAKA?



KUALA LUMPUR 9 Mei - Peguam Negara, Tommy Thomas perlu meletakkan jawatan kerana dilihat biadab serta gagal menyantuni pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja dalam isu meratifikasi Statut Rom.



Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Tommy tidak seharusnya menggunakan forum terbuka untuk menyerang keputusan konsensus Majlis Raja-Raja malah tindakan Peguam Negara itu dilihat penuh helah serta menghampiri garis penderhakaan.

Berikut merupakan kenyataan penuh beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas;


Saya mengambil masa yang agak lama untuk melihat dan mendengar hujah baharu pihak kerajaan dalam mempertahan pandangan keperluan meratifikasi Statut Rom. Kekhuatiran saya secara peribadi, jika isu ini mahu ‘diperinci’ semula pihak kerajaan, ia seakan menyanggah langsung keputusan Majlis Raja-Raja sebelum ini.

Nyata, kerajaan kelihatan amat bersungguh untuk mempengaruhi pandangan awam untuk menerima semula ratifikasi Statut Rom seperti yang dirancang sebelum ini. Kehadiran Peguam Negara, watak penting dan amat signifikan kepada usaha meratifikasi Statut Rom dalam beberapa siri penerangan memberikan bayangan bahawa usaha ini akan kembali di atas landasan dasar kerajaan.

Sewajarnyalah, Kabinet mengarahkan polemik yang berkaitan Statut Rom ini dihentikan serta-merta. Bilamana ia diteruskan, kita akan mendengar sindiran pedas dan pahit kepada institusi Raja Berperlembagaan. Kecualilah, memang niat sebenar pihak tertentu mahukan institusi Raja dihina dan disindir semahunya.

Sepertimana isu ekonomi, jalan pintas yang paling digemari adalah menyalahkan kerajaan lama. ‘Usaha ratifikasi ini sudah bermula di zaman BN’ kata mereka. Soalnya, apakah BN yang mengelirukan para Duli Tuanku? Apakah BN yang hanya melaksana ‘sembah maklum’ tanpa menyantuni pandangan Duli Tuanku?

Peguam Negara tidak seharusnya menggunakan forum terbuka untuk menyerang keputusan konsensus Majlis Raja-Raja. Tommy Thomas tidak sewajarnya menggunakan nada sinis dan bercakap tentang hilangnya kekebalan Raja-Raja. bukan itu isu pokoknya.

Saya beranggapan, Peguam Negara terlebih biadab, penuh helah dan menghampiri garis derhaka. Peguam Negara tidak sewajarnya tampil mempertahan ‘kelemahan’ diri sendiri dalam mengemukakan hujah serong. Duli Tuanku sudah bertitah, keputusan konsensus Majlis Raja-Raja muktamad, siapa Peguam Negara ingin membangkitkan isu ini semula?

Saya ingin mengulas sedikit, bahawa kenyataan Peguam Negara berkenaan kuasa isytihar perang misalnya adalah amat serong dan terkhilaf. Daripada segi teknikal undang-undang berdasarkan kepada Perkara 39, 74, 80 dan butiran 2 (e) Jadual Kesembilan yang jelas memberikan kuasa kepada Parlimen untuk mengisytiharkan peperangan.

Berdasarkan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Utama bagi Persekutuan [Fasal (1) Perkara 32(1)], juga mempunyai kuasa mempunyai kuasa eksekutif Persekutuan [Perkara 39], merupakan pemerintah tertinggi angkatan tentera [Perkara 41] dan adalah salah satu daripada tiga tonggak utama yang membentuk Parlimen Malaysia [Perkara 44].

Bersendikan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu tadi, amat mudah difahami, perkara 32, 39, 74, dan 44 jelas menunjukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong merupakan antara individu yang memainkan peranan dan mempunyai kaitan langsung dengan proses membuat keputusan/undang-undang tersebut dan memberikan untuk melaksanakan keputusan/undang-undang tersebut dalam kapasiti sebagai Ketua Negara, Parlimen dan kuasa eksekutif.

Oleh yang demikian, Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar simbol di dalam Perlembagaan Persekutuan malah dilihat sebagai entiti yang mempunyai peranan yang sangat jelas dalam pentadbiran dan urusan undang-undang negara.

Oleh itu, hujah yang cuba ditegakkan bahawa hak dan keistimewaan Yang di-Pertuan Agong tidak terkesan sama sekali dengan penyertaan Statut Rom adalah amat longgar dan tidak tepat.

Walaupun mahu mempertahan hujah, Tommy Thomas perlu menggunakan fakta yang lebih padu dan ampuh. Jangan menyalahkan “fake news” jika Peguam Negara sendiri mempunyai pemahaman Perlembagaan yang longgar dan terlalu liberal. Kerajaan dan kabinet bertanggungjawab untuk meletakkan titik noktah kepada kekeliruan yang kian berlanjutan ini.

Wujud pandangan pihak tertentu bahawa, bukan setakat Statut Rom yang mahu digembar-gembur, ada niat lebih besar kepada semua ini. Jangan marah dan memberi amaran jika ada suara yang ‘menentang arus’ pendirian kerajaan.

Pandangan umum rakyat terhadap apa yang berlaku mutakhir ini tidak wajar dianggap ‘pekak’ dan ‘tuli’. Pandangan Mufti juga tidak layak disindir perli sebagai ‘pekak’, yang sebenarnya pekak adalah mereka yang menganggap diri mereka ‘baik’ dan hebat sepanjang masa.


Wujudkah ancaman? selagi ‘nilai’ mereka nilai ‘liberal’ keluarga mereka, nilai ‘harta’ kroni yang menjaga kepentingan mereka terpelihara, maka tiadalah ancaman apa pun jua.

Nyata, seorang Peguam Negara yang celupar dan gagal menyantuni pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja sudah tidak layak berada di jawatan itu. Berundurlah dari jawatan jika kesetiaan dan kejujuran tidak lagi dapat diberikan kepada Raja-Raja dan Perlembagaan Negara.

Tindakan Peguam Negara yang menyeleweng Perlembagaan mengikut kehendak sendiri semata-mata mahu memusnahkan martabat institusi perundangan negara

Wednesday, May 8, 2019

TOK AJI SERBAN JADI REBUTAN DI BULAN RAMADHAN

KUALA NERUS, 8 Mei (Bernama) -- Ulat bulu, mas sejemput, tahi itik, kuih rrepok, tok aji serban, jala mas, tepung gomok, kuih kepal, lok lik, kuih beronok, slemang dan nekbat.

Nama-nama itu mungkin kedengaran lucu, namun itulah antara kuih tradisional Terengganu yang menjadi buruan peminat kuih-muih terutama warga emas di bazar Ramadan ketika ini.

Tinjauan Bernama di bazar Ramadan Batu Enam di sini mendapati tidak ramai pengusaha kuih-muih yang menjualnya disebabkan kesukaran proses membuat makanan tradisional itu.

Seorang peniaga, Zawiyah Dagang, 48, berkata Batu Enam memang terkenal sebagai 'syurga makanan tradisi', namun sejak kebelakangan ini, tidak ramai peniaga yang meneruskan pembuatan kuih-muih itu kerana proses pembuatan yang leceh dan mengambil masa agak lama berbanding kuih lain.

"Hanya dua peniaga termasuk saya yang masih menjual kuih rrepok dan kuih kepal di pasar ini sekarang. Bagaimanapun, kuih lain masih boleh didapati di sini kerana masih ada orang yang mahir membuatnya.

"Proses pembuatan kuih rrepok misalnya diperbuat daripada kacang hijau yang perlu direbus sehingga kering dan perlu diulang sebanyak tiga kali bagi memastikan ia empuk sebelum dicampur dengan manisan seterusnya diuli bulat dan dimakan dengan parutan kelapa muda," katanya yang menjual kuih itu pada harga RM2 untuk lima biji.

Beliau adalah generasi ketiga yang menjalankan perniagaan kuih di pasar itu sejak neneknya berniaga 50 tahun lalu.

Seorang lagi peniaga, Safinah Saari, 30, berkata beliau menjual lebih 50 jenis kuih di gerainya itu sepanjang Ramadan kali ini dengan tambahan beberapa kuih istimewa seperti mas sejemput, kuih tanjung, tahi itik dan kuih kepal.

"Kalau hari biasa, memang payah nak jumpa kuih-kuih tradisional ini, namun saya bernasib baik kerana ada beberapa pembuat kuih yang mahu membekalkan kuih mereka di gerai saya khas untuk Ramadan.

"Dengan adanya kuih-muih tradisional, lebih ramai pengunjung datang ke gerai saya kerana mahu menikmati keenakan kuih warisan nenek moyang dengan resipi turun-temurun pembuatnya," katanya yang dibantu empat pekerja sepanjang berniaga pada bulan Ramadan.

Sementara itu, beberapa pengunjung yang ditemui Bernama mengakui mereka sanggup datang ke bazar Ramadan Batu Enam hanya semata-mata mahu membeli kuih tradisional itu kerana tidak banyak lokasi bazar lain yang menjualnya.

Fatimah Tambon, 67, berkata beliau amat menggemari kuih rrepok dan kuih kepal kerana ia mempunyai kenangan tersendiri ketika waktu kecilnya.

"Sekarang, hanya di Batu Enam kuih ini dijual. Begitu juga dengan kuih lok lik yang hanya terdapat di Kedai Buluh dekat Marang. Jadi, setiap kali Ramadan, memang saya akan datang ke sini untuk mencari kuih kegemaran.

"Dulu saya buat sendiri kuih bila terasa nak makan, tapi bila dah berusia ni, badan tak berapa sihat, setakat makan untuk seorang, saya beli sahaja lah," katanya.

Seorang kakitangan swasta, Nurin Adina Ramli, 42, berkata menjadi rutinnya untuk datang ke Batu Enam setiap kali Ramadan untuk membeli kuih kegemaran ibu bapanya iaitu mas sejemput, kuih rrepok dan kuih tanjung.

"Mak ayah memang suka sangat kuih ini sebab biasanya hanya dijual pada Ramadan. Saya pula tak sempat nak buat sendiri sebab agak leceh prosesnya, ambil masa yang lama.

"Paling istimewa, rasa kuih-muih tradisional ini kekal tidak berubah, mungkin resipi yang digunakan adalah sama. Jadi lebih mudah dan berbaloi untuk beli sahaja," katanya yang berharap keluarga pembuat kuih tradisional akan mengekalkan perniagaan mereka.

-- BERNAMA

Tuesday, May 7, 2019

30 PERATUS YB DAP DI BAWAH UMUR 40 TAHUN

SANDAKAN, 7 Mei (Bernama) -- Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh menyangkal dakwaan kononnya calon DAP bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee seorang yang tidak berpengalaman, muda dan tidak boleh berkhidmat kepada rakyat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata Wong cukup berpengalaman malah pernah berkhidmat bukan sahaja di peringkat Parlimen Sandakan tetapi juga negeri setelah menjadi pegawai khas dalam Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

“Wong merupakan ikon kepada pengundi dan anggota DAP untuk melihat pimpinan belia dan wanita cemerlang. Semasa saya mula menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor pada 2008, saya lebih muda , ketika itu umur saya 29 tahun.

“Wong sekarang 30 tahun, jadi tidak terlalu muda dan tidak sepatutnya dia (Wong) dikatakan tidak berpengalaman. Belia kini jauh ke hadapan”,” katanya pada sidang media bersama Wong, di sini hari ini.

Hannah berkata berdasarkan statistik parti itu, 42 anggota parti terdiri daripada Anggota Parlimen dan 108 ADUN.

“Dalam peratusan golongan yang terpilih, 20 peratus daripada jumlah wakil rakyat dipilih adalah wanita manakala 30 peratus daripada jumlah wakil rakyat itu adalah dibawah umur 40 tahun,”katanya.

Beliau berkata parti DAP merupakan pilihan tepat untuk orang muda malahan DAP juga mempunyai sistem mentor yang cukup berkesan sejak 2008 hingga sekarang apabila mempunyai ramai wakil rakyat dan Anggota Majlis terdiri dalam kalangan wanita.

Katanya 21.7 peratus daripada 172,000 keanggotaan DAP terdiri daripada golongan belia dibawah umur 40 tahun.

-- BERNAMA

Monday, May 6, 2019

CHICKEN COTTAGE AKHIRNYA DITUTUP

KUALA TERENGGANU, 6 Mei (Bernama) -- Penutupan Chicken Cottage di Ladang Tok Pelam di sini selepas Aidilfitri nanti adalah antara proses rasionalisasi yang perlu diambil ekoran kerugian yang dialami restoran makanan segera jenama antarabangsa milik kerajaan negeri Terengganu itu.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pada masa yang sama kerajaan negeri sedang memikirkan strategi terbaik yang boleh memberi nafas baharu kepada perniagaan itu agar ia boleh dibuka semula di lokasi lain dalam tempoh dua tahun lagi.

"Kerugian dialami melibatkan Chicken Cottage di Malaysia sahaja sedangkan di luar negara, perniagaan ini berkembang dengan sangat baik terutama di United Kingdom.

"Di Malaysia, terdapat dua cawangan Chicken Cottage iaitu di Kuala Terengganu (Ladang Tok Pelam) dan di Taman Tun Dr Ismail (di Kuala Lumpur). Restoran di Kuala Terengganu akan ditutup selepas Aidilfitri nanti manakala di TTDI akan terus beroperasi buat sementara waktu," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan 2,000 pek bubur lambuk di Masjid Abidin, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri juga mempelawa mana-mana pihak yang berminat untuk membuka cawangan Chicken Cottage dengan konsep francais.

Menurutnya, model perniagaan itu di luar negara tidak berdepan masalah kerana berkonsepkan francais, namun di Malaysia, ibu pejabat Chicken Cottage sendiri yang membuka cawangan dan ia menyebabkan kerugian dalam beberapa aspek termasuk operasi.

"Kerugian dialami ini agak kompleks kerana ia melibatkan hutang lampau yang begitu banyak akibat pelaburan yang dilakukan beberapa tahun dulu, jadi untuk mengatasinya kita perlukan proses rasionalisasi yang diharap dapat melonjakkan semula perniagaan ini dalam tempoh dua tahun lagi," katanya.

Chicken Cottage cawangan Kuala Terengganu mula beroperasi di Ladang Tok Pelam pada 18 Dis 2014 manakala cawangan kedua di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dibuka pada 1 April 2018.

Rangkaian restoran makanan segera itu mula beroperasi di Wembley, United Kingdom pada 1994 dan sehingga kini mempunyai lebih 100 francais di United Kingdom, Eropah, Afrika Utara dan Asia Barat.

-- BERNAMA

Sunday, May 5, 2019

JANGAN BERBALAH PESAN SHAFIE KEPADA AHLI WARISAN

PENAMPANG, 5 Mei (Bernama) — Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta semua anggota merapatkan barisan sekali gus memperkukuh perpaduan parti selepas pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan bagi penggal 2019/2021 selesai dijalankan.

Beliau berkata Warisan adalah sebuah keluarga yang memerlukan kerjasama, kesefahaman dan keharmonian antara anggota memandangkan parti itu menjadi tulang belakang kepada kerajaan negeri.

Mohd Shafie tidak mahu pemilihan AMT, yang buat pertama kali dijalankan selepas Warisan ditubuhkan pada 2016, menjadi punca perbalahan kerana ia jelas tidak elok untuk kelangsungan parti.

“Kepada yang menang, saya ingin mengingatkan mereka supaya menjalankan tanggungjawab sebaiknya, manakala kepada yang kalah, jangan kecewa kerana perjuangan kita bukan untuk mendapat jawatan.

“Jangan berbalah sebaliknya kita perlu bekerjasama memperkuatkan parti,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan Warisan 2018/2019 di sini, hari ini.

Seramai lapan wakil rakyat termasuk menteri dan pembantu menteri terpilih sebagai AMT Warisan pada pemilihan itu bagi penggal sehingga 2021.

Mereka ialah Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Mokhtar, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Chong Chen Bin, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Hiew Vun Zin dan Pembantu Menteri Kewangan Sabah Sarifuddin Hata.

Turut terpilih ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Assaffal P Alian, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Azhar Matusin, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Daud Yusof serta Anggota Parlimen Papar Ahmad Hassan.

Pemilihan itu turut menyaksikan Siti Aminah Jabarkhan dipilih sebagai Ketua Wanita Warisan yang pertama manakala jawatan Timbalan Ketua Wanita Warisan dimenangi oleh Mary Juney George.

Sementara itu, jawatan presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan berkenaan.

Jawatan itu masing-masing disandang oleh Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking; Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong; Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony; serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong.

Jawatan Ketua Wira dan Ketua Wirawati juga tidak dipertandingkan dan masing-masing disandang oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman dan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis.

— BERNAMA

Saturday, May 4, 2019

ALIFF SYUKRI ROTAN ANAK KERANA BUANG TUDUNG TIADA KESAN NEGATIF

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Pemeriksaan awal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terhadap anak perempuan usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman mendapati tiada kesan negatif pada kanak-kanak itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pemeriksaan itu mendapati tidak kesan negatif secara fizikal dan psikologi yang dialami Qadejah El Zahra, 9, atau nama timangannya Cess, rentetan kes dirotan Aliff Syukri.

"JKM sudah siasat dan laporan mendapati tiada kesan negatif ke atas anak beliau, (namun) sekarang ini kita nak rujuk kepada hospital pula.

"Kita tahu niatnya (Aliff Syukri) untuk mendidik anaknya, tapi (dia) dipamerkan (kongsi video). Jika (dilihat) keterlaluan memang JKM telah ambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Ramadan kepada masjid dan surau Parlimen Pandan, di Ampang, hari ini.

Susulan kes itu, Dr Wan Azizah, yang juga Timbalan Perdana Menteri, turut menasihatkan ibu bapa agar mengamalkan pendekatan yang lebih baik atau 'good parenting'.

"Kami mahu mengutamakan kepentingan kanak-kanak, (sebab), itulah kita perlu tekankan ‘good parenting’," katanya.

Baru-baru ini, isu Aliff Syukri merotan anak perempuannya itu menjadi tular kerana perbuatannya itu didakwa sebagai mendera anak.

Pada Selasa lepas, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang menyifatkan perbuatan itu sebagai penderaan fizikal membuat laporan polis ke atas Aliff Syukri kerana merotan Cess dengan alasan kanak-kanak itu membuka tudung.

Difahamkan, pegawai psikologi JKM bertemu keluarga Aliff Syukri dan membuat pemeriksaan terhadap kanak-kanak itu, semalam.

-- BERNAMA

Friday, May 3, 2019

MAH SING GROUP RAIH ANUGERAH TOP 10 DEVELOPER LIMA TAHUN BERTURUT TURUT


KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Majlis Penganugerahan Property Insight Prestigious Developers Award (PIPDA) 2019 malam ini menyaksikan lebih 40 pemaju hartanah tempatan meraih anugerah dalam pelbagai kategori untuk pencapaian terbaik dalam sektor hartanah.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad pada majlis yang berlangsung di sini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan Pengarah Urusan dan Ketua Pengarang Property Insight Datuk K.K Chua.

Chua berkata PIPDA 2019 bertemakan “Redefining Excellence” telah menerima 120 pencalonan untuk 43 anugerah pembangunan.

"Kami berharap jumlah ini akan meningkat tahun depan apabila kita melangkah ke tahun 2020 ... kami memberi penghormatan kepada pemaju yang membuktikan kecemerlangan bukan hanya kepada pasukan editorial, tetapi juga kepada panel hakim," katanya.

Pemenang anugerah pembangunan antaranya ialah Mah Sing Group Berhad yang merangkul enam kategori termasuk Pembangunan Kehidupan Keluarga Terbaik dan juga meraih anugerah Top 10 Developer untuk tahun kelima berturut-turut.

Dalam pada itu, Matrix Concepts Holdings Berhad memenangi Best Landed Development (Northern) Award, LBS Bina Group Berhad (Best Affordable Landed), UDA Holdings Berhad (Best Gated and Guarded Development (Northern), Sime Darby Elmina Development Sdn Bhd (Best Wellness Township Development) dan Hartawan Megajaya Sdn Bhd (Best Luxury Landed Development).

Para pemenang dipilih berdasarkan empat kriteria iaitu rekod prestasi, konsep, reka bentuk bangunan dan penciptaan nilai dan diadili oleh lima pihak yang mempunyai kepakaran dalam industri termasuk Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) Ezumi Harzani.

Majlis penganugerahan berprestij itu dihadiri oleh lebih 700 tetamu terdiri daripada pemain industri dalam sektor hartanah dan dianjurkan oleh Property Insight, majalah pelaburan hartanah yang diterbitkan setiap bulan.

-- BERNAMA

Thursday, May 2, 2019

MAHU PINJAM RM3.95 BILION DARIPADA KWAP TAPI SRC HANTAR SURAT DUA MUKA

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa SRC International Sdn Bhd (SRC International) hanya mengemukakan surat permohonan dua muka surat bagi memohon pinjaman RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Naib Presiden Pinjaman Tetap SME Bank, Amirul Imran Ahmat, 39, berkata surat yang bertarikh 3 Jun 2011 dan ditandatangani oleh Pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil itu memohon pinjaman bagi tujuan modal pusingan dan pelaburan am tanpa had.

Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata surat berkenaan dialamatkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian ketika sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff.

Ishak: Biasakah anda lihat surat permohonan pinjaman daripada KWAP dengan hanya dua mukasurat

Amirul Imran: Pernah tetapi tidak biasa.

Beliau yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Naib Presiden di Jabatan Pendapatan Tetap KWAP berkata, ia berdasarkan salinan surat berkenaan yang diterima dari ketuanya Arwah Ahmad Norhisham Hassan pada Jun 2011.

"Kebiasaannya, sebarang permohonan untuk pinjaman wang memerlukan banyak lagi dokumen tambahan namun dalam perkara ini, tiada dokumen yang diterima KWAP, namun Panel Pelaburan KWAP membuat keputusan sama ada untuk meluluskan atau tidak pinjaman RM1 bilion kepada SRC bagi tujuan working capital (modal pusingan) dan general investments (pelaburan am)," katanya.

Sehubungan itu, Amirul Imran berkata beliau menghantar satu e-mel kepada Nik Faisal Ariff bagi memohon dokumen berhubung permohonan pinjaman itu pada 29 Jun 2011.

Beliau berkata ia termasuk dokumen sokongan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selaku penjamin dan SRC International; profil korporat; strategi perniagaan dan butiran pelaburan, laporan audit tahunan, unjuran aliran tunai dan penyata pengurusan akaun terkini.

Bagaimanapun, saksi itu berkata, pada 1 Julai 2011, beliau menerima e-mel daripada Nik Faisal Ariff menyatakan bahawa pihaknya tidak dapat mengemukakan dokumen dipohon kerana maklumat itu memerlukan kebenaran daripada Pengerusi Lembaga Pengarah dan Najib selaku Perdana Menteri.

Katanya, pada tarikh sama beliau diarahkan Ahmad Norhisham untuk menyediakan kertas cadangan bagi kelulusan Panel Pelaburan bagi pinjaman berjumlah RM1 bilion sahaja kepada SRC tetapi menunda keputusan sehingga mendapat maklumat lanjut.

Menjawab soalan lain Ishak, Amirul Imran berkata KWAP kemudian meluluskan pinjaman RM2 bilion secara terus kepada SRC kerana ia merupakan anak syarikat milik penuh 1MDB dan juga kerana pinjaman akan bersandarkan jaminan kerajaan pada 19 Julai 2011 atas kelulusan Ahli Panel Pelaburan Khas dan Datuk Azian Mohd Noh selaku Ketua Pegawai Eksekutif KWAP.

"Saya kemudian telah melihat "Letter of Guarantee Relating To The Islamic Term Financing Facility of RM2 bilion Granted to SRC International Sdn Bhd" bertarikh 26 Ogos 2011 yang merupakan surat jaminan Kerajaan Malaysia yang ditandatangai Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah," katanya.

Saksi itu berkata KWAP juga ada menerima surat daripada Kementerian Kewangan bertarikh 22 Ogos 2011 yang merupakan persetujuan Kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kepada SRC bagi pinjaman RM2 bilion untuk tempoh 10 tahun bagi membiayai aktiviti pelaburan dalam sumber asli selaras dengan Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965.

“Kadar pembiayaan (faedah pinjaman) adalah pada kadar tetap Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) tahun campur 100 mata asas untuk tiga tahun pertama.

"Bermula pada tahun keempat, pinjaman adalah berdasarkan kepada kadar MGS 10 tahun campur tujuh puluh mata asas yang akan ditetapkan setiap tahun pada tarikh ulang tahun pengeluaran.

Bayaran balik faedah pinjaman ini dibayar oleh SRC bagi tempoh setiap enam bulan pada jumlah lebih kurang RM50.8 juta dengan kadar faedah 4.65 peratus setahun.

Bayaran pokok bermula pada tahun keenam berdasarkan jadual pembayaran yang terkandung dalam Schedule Six, Facility Agreement bertarikh 26 Ogos 2011," katanya.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salahguna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin.

-- BERNAMA

Wednesday, May 1, 2019

KEJAR LORI MILO UNTUK MENANTU MENGIDAM DAPAT PERHATIAN NESTLE

KUANTAN, 1 Mei (Bernama) -- Video yang tular mengenai seorang wanita mengejar 'lori Milo' bagi menunaikan impian menantunya yang mengidam mendapat perhatian Syarikat Nestle (Malaysia) Berhad yang segera memenuhi impian wanita sarat mengandung itu dengan menghantar air Milo terus ke rumahnya.

Kehadiran lori hijau putih di hadapan sebuah rumah di Bukit Istana di sini baru-baru ini menyebabkan Natasya Rose Nizam, 23, kelu kerana sudah hampir enam bulan beliau mengidam untuk meneguk minuman tersebut.

"Saya terharu dan hampir menangis apabila melihat lori Milo berada di depan mata.. sejak mengandung dua bulan saya mengidamnya dan Alhamdulillah hajat itu tercapai hari ini, semasa kandungan sudah berusia lapan bulan.

"Saya mengidam air lori Milo kerana teringat kenangan dan kesedapan minuman ini, setiap kali lori Milo datang ke sekolah dahulu," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini, hari ini.

Natasya Rose yang kini menanti kelahiran anak sulungnya berkata beliau telah mencuba pelbagai minuman coklat, namun tiada satu pun yang dapat memuaskan keinginannya selain 'air lori Milo'.

Hasrat Natasya Rose 'tersebar secara tidak sengaja' apabila video ibu mentuanya Datin Hasmazura Shahbudin, 46, mengejar lori Milo di Jalan Pintasan Kuantan di sini bagi menunaikan permintaan menantunya tular di laman sosial.

Suami Natasya Rose, Muhammad Azmer Mohd Badrul, 23, berkata beliau yang ketika itu sedang memandu memuatnaik video ibu dan adiknya mengejar lori Milo tersebut kerana berasa insiden itu kelakar.

"Saya berterima kasih kepada netizen yang menularkan video tersebut sehingga mendapat perhatian Nestle... Ibu saya menahan lori itu pada pukul 10 pagi Isnin, dan pada tengah hari, Nestle menghubungi saya untuk mengaturkan kejutan ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Pengguna, Unit Perniagaan Milo Maria Murni Nur Azmi berkata ini merupakan pertama kali mereka membuat kejutan seperti ini kepada ibu mengandung yang mengidam.

Beliau berkata, lori Milo yang dikejar ibu mentua Natasya tidak dapat menunaikan permintaannya pada waktu itu kerana kawasan tersebut tidak selamat untuk berhenti dan lagipun air Milo belum dibancuh.

-- BERNAMA