Monday, November 20, 2017

TERENGGANU CATAT SAHABAT GERAH TERTINGGI

KUALA NERUS, 20 Nov (Bernama) -- Terengganu merekodkan pendaftaran tertinggi untuk program Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah), iaitu seramai 11,000 orang setakat hari ini.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu Mohd Zaki Hassan berkata pihaknya hanya menyasarkan pendaftaran 10,000 Sahabat Gerah ketika ia dilancarkan pada Ogos lalu.

"Namun kita sudah mencapai sasaran itu lebih awal dari masa yang ditetapkan pada 31 Dis tahun ini. Bagi saya, ini adalah bukti komitmen tinggi daripada rakyat Terengganu dalam membantu SPRM membanteras rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis lafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) oleh Naib Canselor UniSZA Profesor Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif dan 1,100 kakitangan UniSZA termasuk pensyarah dan petugas pentadbiran, di sini hari ini.

UniSZA adalah universiti kedua yang melaksanakan IBR di negeri ini selepas Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu.

No comments:

Post a Comment