Saturday, November 18, 2017

SYARIKAT SIMPAN DATA PENGGUNA HARUS PASTIKAN DATA TERKAWAL


KUALA BERANG, 18 Nov (Bernama) -- Mana-mana syarikat yang menyimpan data pengguna perlu memastikan data itu dalam keadaan terkawal dan tidak dikongsi dengan pihak lain jika tidak mendapat kebenaran daripada pengguna berkenaan.


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata ia sebagai langkah keselamatan dan memastikan data pengguna tidak dicuri dan disalahgunakan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya pihaknya sebelum ini telah menggariskan beberapa peraturan yang perlu diikuti oleh pemegang data dan juga pengguna bagi memastikan ia tidak bocor ke pihak lain.

"Ia termasuk juga kes Bank CIMB tempoh hari di mana ia bukan sahaja melibatkan data itu sendiri (hilang) ...tetapi fizikalnya (pita magnetik) turut hilang ...perkara ini juga telah diakui oleh pihak CIMB dan ia telah diambil tindakan yang sewajarnya," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Kampung Kuala Kejir dan Kampung Tengkawang di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas isu kehilangan pita data sokongan CIMB pada 13 November lepas.

Kejadian itu juga tidak melibatkan sebarang unsur sabotaj seperti yang telah disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Jailani merangkap Anggota Parlimen Hulu Terengganu turut berkata kecurian data sebenarnya bermula daripada pengguna yang teruja memuat naik data mereka ketika menggunakan laman sosial.

"Fungsi butang hashtag sebenarnya harus diambil peduli...jangan kita sewenang-wenang berkongsi hal-hal peribadi di alam maya ini...sekarang orang sudah tidak kisah apa sahaja gambar contohnya gambar anak dan kawan semua masukkan dan ini mengundang untuk orang ambil dan tularkan, apabila sudah tular maka susahlah untuk kita ambil tindakan.

"Zaman sekarang, jenayah siber seperti kecurian data ini dilakukan secara sindiket dan apa yang saya tekankan adalah pengguna harus klik pautan dengan bijak dan harus sentiasa ambil peduli...kita di pihak kementerian akan terus mengambil tindakan segera apabila sindiket ini telah dikesan dan SKMM selaku agensi teknikal akan sentiasa membantu agensi seperti polis untuk mengesan siapa yang terlibat dalam kebocoran data peribadi," katanya lagi.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment