Friday, November 3, 2017

LEBIH SEPARUH BAJET KKLW UNTUK RAKYAT SABAH DAN SARAWAK

PUTRAJAYA, 3 Nov (Bernama) -- Lebih separuh atau 52.50 peratus daripada RM3.689 bilion jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan yang diberikan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dalam Bajet 2018 akan dinikmati penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dengan anggaran peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak, masing-masing sebanyak RM927.635 juta (23.98 peratus) dan RM1.103 bilion (28.52 peratus), bakinya pula adalah untuk bajet pembangunan 11 negeri di Semenanjung.

"Jadi bermakna secara purata tidak sampai lima peratus bajet pembangunan diberikan kepada setiap negeri di Semenanjung, sekali gus menafikan dakwaaan pembangkang yang menyatakan bahawa kerajaan tidak memberi perhatian kepada pembangunan di Sabah dan Sarawak," katanya pada sidang media khas Bajet 2018 di sini hari ini.

Jelasnya hampir RM500 juta daripada RM934 juta keseluruhan peruntukan untuk projek jalan luar bandar diberikan kepada Sabah dan Sarawak; dan kedua-dua negeri itu juga menerima RM620 juta peruntukan bekalan elektrik luar bandar serta RM420 juta diperuntukkan untuk bekalan air luar bandar.

"Ada di antaranya adalah untuk projek sambung iaitu sebanyak 472 projek dan 178 adalah projek baharu," katanya.

No comments:

Post a Comment